Di Maria sarung jersi Nombor 11

Di Maria sarung jersi Nombor 11

PARIS, 7 Ogos (AFP) – Pemain sayap Argentina Angel di Maria diperkenalkan sebagai pemain Paris Saint-Germain semalam selepas melengkapkan perpindahannya dari Manchester United dengan persetujuan empat tahun.

Di Maria, 27, menandatangani kontrak sehingga Jun 2019 setelah lulus pemeriksaan perubatan di Doha sebelum berlepas ke Paris Rabu lalu selepas PSG milik Qatar bersetuju dengan Manchester United dengan bayaran 63 juta euro (AS$68.9 juta).

“Saya tahu banyak kelab-kelab besar yang juga berminat dengannya. Angel akan memberikan sesuatu yang lebih kepada pasukan, terutamanya dalam Liga Juara-Juara. Saya berharap dia boleh memenanginya bersama kami,” kata presiden Paris, Nasser Al-Khelaifi semasa sidang akhbar malam semalam di sebuah hotel di ibu negara Perancis berhampiran Menara Eiffel.

Di Maria menjadi pemain kedua termahal dalam sejarah bola sepak Perancis selepas bintang penyerang Uruguay, Edinson Cavani, yang menyertai Paris dari Napoli dengan bayaran 64 juta euro pada musim panas 2013.

Dia sudah lama menjadi sasaran juara Perancis itu tetapi memilih United apabila meninggalkan Real Madrid setahun lalu selepas membantu gergasi Sepanyol itu memenangi Liga Juara–Juara.

Angel Di Maria bergambar dengan jersi PSG di anjung Parc des Princess sambil ditemani presiden kelab Nasser Al-Khelaifi semasa diperkenalkan secara rasmi semalam. – Reuters
Angel Di Maria bergambar dengan jersi PSG di anjung Parc des Princess sambil ditemani presiden kelab Nasser Al-Khelaifi semasa diperkenalkan secara rasmi semalam. – Reuters

“Saya gembira berada di PSG, saya tahu sudah beberapa tahun sekarang mereka cuba untuk mendapatkan saya tetapi bagi alasan berbeza saya tidak dapat untuk datang sebelum ini,” kata pemain dari Argentina itu.

Bekas bintang Rosario Central, Benfica dan Madrid itu dilihat akan mengembalikan rentak terbaiknya selepas musim mengecewakan dalam Liga Perdana bersama United ketika gagal untuk mewajarkan keputusan United memecah rekod 59.7 juta pound untuk mendapatkan khidmatnya.

Dia tidak pernah selesa di England walaupun dia menegaskan keputusan untuk meninggalkan Old Trafford bukanlah keputusannya seorang sahaja.

“Bukan keputusan saya untuk pergi. Saya pergi kerana mereka memutuskan untuk menjual saya,” katanya.

“Banyak perkara tidak menjadi seperti yang saya mahukan di Manchester, tetapi hadiah saya di sini.”