Di Matteo harap Mourinho kekal lama

Di Matteo harap Mourinho kekal lama

LONDON, 12 Nov (Reuters) – Roberto Di Matteo, yang membimbing Chelsea ketika mereka memenangi Liga Juara-juara 2012, berharap agar Jose Mourinho dikekalkan sebagai pengurus The Blues untuk tempoh yang panjang.

Pengurus dari Portugal itu ketika ini dihimpit tekanan berat akibat cara penyandang juara Liga Perdana Inggeris itu memulakan musim ini, berada di tempat kelima tercorot setelah kalah dalam tujuh daripada 12 perlawanan pertama dan hanya mengumpul 11 mata.

“Saya sangat berharap Mourinho akan terus kekal untuk tempoh yang panjang, kestabilan adalah penting kepada kelab.

“Kita mudah lupa tetapi ingatlah bahawa hanya empat bulan lalu kita meraih kejuaraan berganda (liga dan Piala Liga),” kata bekas pemain tengah Chelsea itu sewaktu menghadiri pembukaan sebuah kedai aiskrim baharu di London yang dimiliki sebahagiannya oleh bekas rakan sepasukannya Gianfranco Zola.

Di Matteo, yang bermain bersama Chelsea pada 1996-2002, dilantik sebagai pengurus sementara selepas Andre Villas-Boas dipecat pada Mac 2012 dan membantu Blues meraih gelaran Liga Juara-juara dengan mengalahkan Bayern Munich di Allianz Arena serta Piala FA dua bulan selepas itu.

Jose Mourinho dan Roberto Di Matteo (kiri) berjabat tangan selepas aksi Liga Juara-Juara Schalke 04 dan Chelsea FC pada 28 November 2014. – Reuters
Jose Mourinho dan Roberto Di Matteo (kiri) berjabat tangan selepas aksi Liga Juara-Juara Schalke 04 dan Chelsea FC pada 28 November 2014. – Reuters

Warga Itali itu kemudian membimbing Schalke 04 untuk seketika apabila dipecat oleh kelab Bundesliga itu lima bulan lalu.

Sementara itu, Zola, yang dilantik sebagai jurulatih kelab Qatar, Al Arabi pada Julai lalu, yakin bahawa Chelsea mampu mengubah nasib malangnya dalam sedikit masa lagi kerana mereka memiliki pasukan yang bagus.

“Ada satu sebab kepada permulaan buruk musim ini. Prestasi buruk penyerang utama iaitu Eden Hazard dan Diego Costa.

“Dari segi bertahan pun pasukan ini gagal mencapai tahap seperti pada tahun lalu jadi pemain-pemain telah hilang keyakinan dan ini menghasilkan keputusan buruk. (Bagaimanapun) kelab ini memiliki kekuatan untuk mengubah nasib mereka,” kata bekas penyerang Itali itu.

Perlawanan Chelsea seterusnya ialah menentang Norwich City dalam Liga Perdana pada 21 November di tempat sendiri.