‘Dia De Muertos’cara orang Mexico menghormati si mati

‘Dia De Muertos’cara orang Mexico menghormati si mati

KUALA LUMPUR – Memang bukan mudah kehilangan orang yang disayang dan memori orang yang meninggal dunia itu pasti akan kekal dalam ingatan sepanjang hayat.

Namun daripada meratap dan bersedih, ada budaya yang meraikan si mati. Terdapat banyak cara yang unik yang diamalkan pelbagai budaya di seluruh dunia untuk mengenang dan memperingati si mati.

Sama ada dalam keadaan sugul atau gembira, mesejnya sama iaitu untuk menghargai, memperingati serta mengalu-alukan roh orang yang meninggal dunia untuk disatukan kembali dengan keluarganya dalam majlis tertentu.

Perayaan penuh kegembiraan untuk orang Mexico

Di Mexico, masyarakat di sana percaya si mati perlu diraikan dan dibantu dalam perjalanan alam rohnya. ‘Hari si mati’ atau dikenali sebagai ‘Dia de Muertos’ dalam bahasa Sepanyol adalah acara tahunan diraikan pada 1 dan 2 Nov bukan sahaja untuk menghormati si mati tetapi juga meraikan keseronokan kehidupan.

Antara make-up lukisan tengkorak (Skull Catrina) merupakan salah satu tarikan yang terdapat pada Perayaan Hari Kematian (Day of The Dead) oleh masyarakat Mexico. – Bernama
Antara make-up lukisan tengkorak (Skull Catrina) merupakan salah satu tarikan yang terdapat pada Perayaan Hari Kematian (Day of The Dead) oleh masyarakat Mexico. – Bernama

Perayaan istimewa ini diisytihar oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 2008 sebagai Warisan Kebudayaan Kemanusiaan. Carlos Felix Corona, Duta Mexico ke Malaysia berkongsi sedikit sebanyak tentang ‘Dia de Muertos’ di kediamannya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

 

Berdasarkan pengamatan penulis, Hari Si Mati Mexico ada kesamaannya dengan kebudayaan lain, contoh, ‘Halloween’ di Amerika Syarikat, ‘Qingming’ atau hari membersih kubur yang diamalkan oleh masyarakat Cina, ‘P’chum Ben’ atau Hari Moyang yang diraikan di Kemboja dan ‘Chuseok’ di Korea Selatan. Ciri unik ‘Dia de Muertos’ Mexico ialah melukis wajah dengan warna yang terang inspirasi La Catrina, iaitu imej ‘Tengkorak Yang Bergaya’.

Marigolds, Sugar La Catrina, Roti Mati antara simbol

Ketika berkongsi dengan Bernama bagaimana masyarakat Mexico meraikan orang yang sudah meninggal dunia, Felix Corona menyatakan tentang penyediaan tempat khas ‘altar’ untuk mengalu-alukan kepulangan roh si mati untuk bermalam dengan keluarganya. “Keluarga akan menyediakan altar. Malam itu umpama malam istimewa untuk si mati bersatu dengan keluarganya, ini berlaku setahun sekali,” jelasnya.

Kata beliau, pesta tahunan itu diraikan dengan penuh kegembiraan kerana masyarakat Mexico percaya kematian itu adalah sebahagian daripada kehidupan dan kesinambungan perjalanan roh ke dunia yang lain.

Setiap tahun, menjelang November, bunga Marigold yang berkembangan seolah-olah mengingatkan masyarakat Mexico ketibaan ‘Hari Si mati’. Pada bulan ini, jalan raya di Mexico dipenuhi dengan bunga marigold, gerai menjual barangan tradisional serta hiasan untuk altar.

Ini termasuk lilin serta hadiah seperti manisan berbentuk tengkorak diperbuat daripada gula atau cokelat iaitu simbol kematian dan kehidupan selepas kematian. Marigold dianggap antara yang paling penting diletakkan di atas altar kerana dipercayai bau harum bunga ini akan membantu roh kembali ke altar.

Hari Kematian ini diraikan pada setiap tahun bagi memperingati orang yang telah tiada dan juga meraikan mereka yang masih hidup. Masyarakat Mexico mempercayai bahawa kematian adalah salah satu kitaran hidup dan ia harus diraikan dengan gembira. – Bernama
Hari Kematian ini diraikan pada setiap tahun bagi memperingati orang yang telah tiada dan juga meraikan mereka yang masih hidup. Masyarakat Mexico mempercayai bahawa kematian adalah salah satu kitaran hidup dan ia harus diraikan dengan gembira. – Bernama

Barangan persembahan lain di atas altar ialah ‘Pan de muerto’ yang juga dikenali sebagai roti si mati. Roti ini adalah roti manis tradisional Mexico yang dibuat semasa pesta.

Mewakili kitaran kehidupan, roti ini lazimnya dibentuk menjadi tengkorak, tulang dan diatur dalam bentuk bulat. Persekitaran altar akan dihias dengan ‘papel picado’ (kertas berlubang), seni Mexico yang menggambarkan kesatuan antara kehidupan dan kematian serta kegembiraan untuk kehidupan.

Memperingati pujangga Octavio Paz

Untuk meraikan Hari Si mati tahun ini, Kedutaan Mexico di Malaysia memberi penghormatan kepada pujangga Mexico yang juga seorang ahli diplomat, Octavio Paz Lozano. Kedutaan menyediakan altar tujuh tingkat yang dihias indah serta lilin yang dinyalakan untuk mengalu-alukan rohnya.

Menurut Felix Corona, di samping barangan hiasan utama, altar boleh juga dihias dengan barangan kegemaran si mati atau barangan milik si mati sebagai melahirkan rasa hormat serta penghargaan untuk beliau. “Sebagai menghormati Octavio Paz, kami menyediakan tequila, cerut dan pen. Beliau adalah penulis dan diplomat, jadi saya fikir beliau tentu banyak menggunakan pen untuk menulis dan menurunkan tandatangan,” jelasnya.

Dilahirkan pada 31 Mac, 1914, Octavio Paz yang meninggal dunia pada 19 April, 1998 adalah seorang daripada penulis yang berpengaruh pada abad ke-20. Beliau juga seorang pujangga hebat. Satu daripada petikan kata-kata beliau: “Kematian adalah lumrah bagi masyarakat Mexico, mereka menjadikannya bahan jenaka, tidur pun fikir mati dan menjadikannya satu perayaan. Mati itu cinta hati mereka.” – Bernama