Diancam tanah runtuh, rumah panjang dikosongkan

Diancam tanah runtuh, rumah panjang dikosongkan

MIRI, 6 Dis – Sebuah rumah panjang di Tatau, Bintulu terpaksa dikosongkan segera berikutan ancaman tanah runtuh sejak petang semalam.

Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Bintulu Leftenan Muda Zuriza Sharkawi berkata, 53 orang dari 17 buah keluarga dari Rumah Panjang Johnathan Philip, Sungai Klawit, Tatau telah mula dipindahkan ke Dewan Sukan Tatau sejak pukul 5 petang semalam dan berterusan sehingga pukul 7 malam ini.

“Setakat ini tiada kerosakan dilaporkan berlaku terhadap rumah panjang tersebut,” kata-nya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Zuriza berkata, tempoh penduduk rumah panjang tersebut ditempatkan di Dewan Sukan Tatau bergantung kepada budi bicara Pegawai Daerah Tatau yang akan memantau keadaan tanah di sekitar rumah panjang tersebut selama beberapa hari nanti.

Beliau berkata, proses pemindahan dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga jika hujan lebat berlaku pada masa terdekat.  – Bernama