Diarah tutup

Diarah tutup

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 13 Okt – Sebuah kedai makan di kawasan Mukim Liang, di sini, telah diarahkan tutup buat sementara ekoran tahap kebersihan tidak memuaskan yang didapati semasa pemeriksaan dalam Operasi Bersepadu, hari ini.

Sepanjang penutupan itu, premis terbabit diarahkan untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan perniagaan hanya akan dibenarkan beroperasi semula setelah kebersihan berada di tahap yang dikehendaki oleh pihak penguatkuasaan.

Operasi yang melibatkan Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Belait dan Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Kuala Belait, itu telah membuat pemeriksaan ke atas tiga buah kedai makan dan minum di kawasan Mukim Liang di bawah kawalan Jabatan Daerah Belait.

Menurut bahagian tersebut, semasa pemeriksaan itu, penyelia-penyelia premis telah ditegur mengenai cara-cara penyimpanan barang makanan dan mi-numan serta lain-lainnya di tempat yang tidak sesuai, dikhuatiri boleh menjejaskan kualiti barangan berkenaan, terutamanya produk seperti tenusu dan tepung yang boleh mengakibatkan kemungkinan keracunan makanan.

Sebuah kedai makan di Mukim Liang yang didapati tahap kebersihannya tidak memuaskan telah diberikan notis penutupan sementara.
Sebuah kedai makan di Mukim Liang yang didapati tahap kebersihannya tidak memuaskan telah diberikan notis penutupan sementara.

Penyelia-penyelia premis juga diberi nasihat oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Kesihatan supaya sentiasa berhubung dengan pegawai-pegawai jabatan berkenaan untuk meminta pendapat dan pandangan mengenai dengan tatacara pengawalan kebersihan dalam premis perniagaan.

Operasi berkenaan bertujuan untuk membuat pemeriksaan ke atas kebersihan dan keselamatan persekitaran luar dan dalam premis perniagaan, selain bagi memastikan makanan dan minuman yang dihidangkan kepada pelanggan adalah selamat serta mematuhi piawaian Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Peraturan-peraturan serta Syarat-syarat di bawah Akta Lesen Perniagaan Penggal 127 (pindaan 2015).

Pemantauan dan rondaan akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan perkara-perkara seperti menyalahi peraturan dan undang-undang yang telah diperuntukkan kepada pihak Jabatan Daerah Belait supaya akan selalu mengawasi kebersihan dan keselamatan di kawasan premis-premis perniagaan.

ARTIKEL YANG SAMA