Dibayar AS$5,000 supaya berpatah balik

Dibayar AS$5,000 supaya berpatah balik

KUPANG, Indonesia, 11 Jun (AFP) – Kapten dan krew bot yang membawa 65 pencari suaka berkata pihak berkuasa Australia membayar mereka beribu-ribu dolar untuk berpatah balik dan kembali ke perairan Indonesia, menurut polis semalam.

Penghijrah dari Bangladesh, Myanmar dan Sri Lanka tiba di pesisir pulau Rote di timur Indonesia pada lewat bulan Mei, selepas mereka dipintas dalam perjalanan ke New Zealand oleh tentera laut Australia.

Kapten dan lima anak kapal, yang kesemuanya sedang ditahan di Rote atas dakwaan menyeludup manusia, memberitahu polis setiap dari mereka dibayar AS$5,000 oleh pegawai imigresen Australia untuk berpatah balik ke Indonesia, ketua polis setempat Hidayat memberitahu AFP.

“Mereka kemudian diarah supaya mengambil dua buah bot lebih kecil dan berpatah balik ke Indonesia selepas wang bertukar tangan,” kata Hidayat.

“Saya melihat wang itu dengan mata kepala saya sendiri. Ini adalah kali pertama saya mendengar pihak berkuasa Australia membayar anak kapal.

Pejabat Menteri Imigresen Australia, Peter Dutton semalam enggan mengulas dakwaan itu.

“Kerajaan Australia tidak mengulas atau mendedahkan butiran operasi yang mana ini akan menimbulkan prasangka hasil operasi masa ini atau akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

ARTIKEL YANG SAMA