Diberi peluang mohon langsung pekerja asing

Diberi peluang mohon langsung pekerja asing

KLANG, 10 Julai – Kementerian Dalam Negeri digesa untuk berhubung terus dengan persatuan perdagangan untuk membawa masuk pekerja asing ke dalam negara bagi menampung keperluan tenaga kerja sebenar dalam industri dan perniagaan.

Pengerusi Persatuan Usaha-wan Little India, Klang, N. P. Raman berkata persatuan perdagangan utama di negara ini mewakili peniaga dalam perniagaan tekstil dan barang kemas perlu diberikan peluang untuk memohon secara langsung kepada kementerian bagi mengelak risiko ditipu oleh ejen yang tidak bertanggungjawab.

“Kami daripada persatuan tidak mahu sebarang kerenah birokrasi yang tidak perlu apabila membawa masuk pekerja asing ke dalam negara dan diberikan peluang untuk berhubung terus dengan kementerian dalam negeri bagi meminimumkan kos.

“Ini bagi memastikan keperluan tenaga kerja sebenar dalam industri perdagangan boleh ditentukan sendiri oleh persatuan perdagangan masing-masing untuk diagihkan kepada anggota mereka dalam perniagaan restoran, barang kemas dan pasar mini,” katanya kepada Bernama.

Mengenai keputusan kerajaan untuk membekukan pengambilan pekerja asing dari semua negara sumber, Raman, yang menjalankan perniagaan barang kemas di Klang Little India berkata kerajaan seharusnya menarik balik larangan itu kerana ramai peniaga dari kawasan Klang Little India memerlukan buruh asing untuk mengekalkan perniagaan mereka bagi tempoh jangka panjang.

Beliau berkata permintaan persatuan untuk mendapatkan buruh asing baharu perlu dipertimbangkan dengan serius kerana bukan hanya peniaga yang akan mendapat manfaat daripada langkah itu, tetapi juga kerajaan menerusi cukai-cukai dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dibayar oleh para peniaga.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kerajaan telah menggantung pengambilan pekerja dari semua negara sumber sehingga ia memastikan keperluan tenaga kerja sebenar industri.

Beliau berkata penangguhan itu juga membolehkan kerajaan mengkaji semula semakan semula levi dua kategori ke atas pekerja asing. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA