Diberkas selepas tatu Yakuza tular

BANGKOK, 11 Jan – Seorang penjenayah Jepun yang sudah bersara, diberkas di Thailand, menamatkan lebih daripada 14 tahun pelariannya selepas gambar tatu Yakuza dan jari kelingkingnya yang kudung tular.

Penjenayah buruan itu, Shigeharu Shirai, 72, diberkas oleh pasukan SWAT pada Rabu di pasar Lopburi, bandar sunyi tengah Thailand ketika dia keluar membeli-belah.

Pihak berkuasa Jepun mengeluarkan waran tangkap atas peranannya dalam penembakan seorang saingan di Jepun dalam 2003, walau bagaimanapun dia melarikan diri ke Thailand, berkahwin dengan seorang wanita Thai dan akhirnya bersara dengan tenang daripada kegiatannya.

Namun ketenangannya berkocak apabila seorang warga Thailand menyiarkan beberapa gambar orang tua kecil, tampak lemah bermain permainan dam di tepi jalan dengan tatu geng rumit yang terdedah dan jari kelingking kudung—ahli Yakuza sering kali memotong sedikit hujung jari kelingking bagi menebus kesalahan mereka.

Shigeharu Shirai menunjukkan tatunya di balai polis selepas sidang media di Lopburi, tengah Thailand, 11 Jan. Dia ditangkap selepas gambarnya sedang bermain dam dengan tatu terdedah tular di media sosial. – AP

Gambar itu dikongsi sebanyak 10,000 kali dalam talian dan meraih perhatian polis Jepun yang meminta pihak berkuasa untuk menangkapnya.

“Suspek mengakui bahawa dia adalah ketua sub-geng Yakuza Kodokai,” jurucakap polis Thailand, Jeneral Wirachai Songmetta mengatakan, merujuk kepada kumpulan gabungan terbesar yakuza Jepun, Yamahuchi-gumi.

Yakuza muncul dalam kekacauan pasca perang Jepun, menjadi organisasi jenayah bernilai berbilion dolar yang terlibat dalam apa sahaja daripada perjudian, dadah, pelacuran sehinggalah along, skim perlindungan melalui pemerasan dan jenayah kolar putih. – AFP