Didakwa guna pasport orang lain

Didakwa guna pasport orang lain

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_151006_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Okt – Dua warga Malaysia mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan di bawah Akta Imigresen.

Mohammad Yazit bin Sabagyo, 36, didakwa memasuki Brunei Darussalam pada 3 Oktober 2015 tanpa memiliki dokumen yang sah, dan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen, Bab 17, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3)(a) akta yang sama.

Kesalahan ini memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari tiga bulan dan tidak melebihi dua tahun serta tidak kurang daripada tiga sebatan.

Sementara itu, Nur Era Kasmiran binti Kamis, 31, berdepan pertuduhan bersubahat dengan Mohammad Yazit pada 3 Oktober 2015 dengan menyediakan pasport milik abangnya, dan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55(1)(b) Akta Imigresen, Bab 17b dan boleh dihukum di bawah 55(1)(b)(ii) yang sama.

Kesalahan yang dibuat memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tujuh tahun.

Pemangku Majistret Kanan, Dayang Azrimah binti Haji Abdul Rahman menetapkan 7 Oktober 2015 untuk sebutan hukuman, dan memerintahkan kedua-dua defendan ditahan reman di Penjara Jerudong sehingga sebutan seterusnya.

Pegawai Pendakwa Imigresen dalam kertas pertuduhan menyebut, kedua-dua defendan yang hendak menuju ke Miri berjaya melewati Pos Kawalan Kuala Lurah dari Limbang pada 3 Oktober 2015 sekitar jam 5:04 petang.

Ketika menyerahkan pasport di kaunter imigresen di Pos Kawalan Sungai Tujoh kira-kira jam 7:20 malam, pegawai yang bertugas mengesyaki pasport yang digunakan oleh Mohammad Yazit bukan miliknya apabila dia gagal menjawab nombor siri kad pengenalan dan tarikh lahir yang tertera di dalam pasport itu ditanya.

Siasatan mendapati pasport yang digunakan Mohammad Yazit kepunyaan abang kepada Nur Era Kasmiran.

Nur Era Kasmiran didapati bersubahat dan membenarkan Mohammad Yazit menggunakan pasport abangnya untuk pergi ke Miri dari Limbang.

ARTIKEL YANG SAMA