Didakwa lakukan persetubuhan haram

Didakwa lakukan persetubuhan haram

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Jan – Seorang lelaki tempatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini, atas dua pertuduhan melakukan persetubuhan haram dengan seorang perempuan berusia 14 tahun pada September 2014.

Mohd Nasiruddin bin Muhammad Isa, 29, yang sudah berkahwin didakwa melakukan persetubuhan terhadap mangsa di kawasan Pantai Seri Kenangan pada September 2014 sekitar waktu tengah hari.

Dia juga didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa yang sama pada hujung September 2014 pada waktu dan tempat yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 2 Akta Perbuatan Bersetubuh, Penggal 29 yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta tidak melebihi 24 kali sebatan bagi kes pesalah dewasa atau 12 sebatan untuk pesalah muda.

Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Rozaiman binti Haji Abdul Rahman memaklumkan mahkamah, dia akan memanggil sembilan orang saksi pendakwaan untuk memberikan keterangan terhadap tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya juga tidak membantah untuk tertuduh dilepaskan dengan ikat jamin $5,000 atau dua orang penjamin tempatan, dan perlu mematuhi beberapa syarat iaitu untuk melaporkan diri ke Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak dalam dua minggu sekali, tidak melakukan kesalahan atau ditangkap ketika dalam tempoh ikat jamin dan tidak berhubung secara langsung atau tidak langsung dengan saksi pendakwaan.

Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman menetapkan 1 Februari untuk menentukan tarikh perbicaraan.

ARTIKEL YANG SAMA