Didakwa mulakan kebakaran

Didakwa mulakan kebakaran

Oleh Fadley Faisal

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Sept – Seorang lelaki tempatan, hari ini, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, kerana dipercayai sengaja memulakan kebakaran sehingga menyebabkan seorang kanak-kanak berusia dua tahun maut dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Kampung Pancha Delima 2, pagi 23 September lalu.

Defendan, Remia bin Haji Raub, 32 tahun, berdepan dakwaan melakukan perbuatan khianat menyebabkan kebakaran dengan menyalakan api ke atas tilam menggunakan pemetik api di rumah tersebut, yang kemudiannya menyebabkan berlaku kebakaran dan membawa kepada kematian kanak-kanak malang itu.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh. Dia ditahan pada 23 September lalu, kira-kira jam 8.00 malam.

Rumah tersebut telah disewa oleh pekerja-pekerja warga asing dan kanak-kanak yang terkorban itu merupakan anak kepada salah seorang penyewa di situ.

Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Norhayati binti Dato Paduka Haji Omar supaya defendan ditahan di Balai Polis Pusat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan memandangkan terdapat kemungkinan dia turut ada kaitan dengan dua kes kebakaran sebelumnya.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya, defendan perlu menjalani kawad cam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh 8 Oktober ini bagi sebutan lanjut kes tersebut sementara siasatan lanjut dijalankan oleh Unit Siasatan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA