Didenda $700 miliki sayap, tongkeng ayam tidak diisytihar

Didenda $700 miliki sayap, tongkeng ayam tidak diisytihar

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jun – Gara-gara memiliki sayap ayam dan tongkeng ayam yang tidak diisytiharkan, seorang lelaki tempatan dijatuhi denda $700 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini.

Mohammad Hakim bin Ag Aziz, 22, didakwa memiliki 15 paket sayap ayam beku Rose dan 15 paket tongkeng ayam beku pada 18 Jun 2015 kira-kira 12:30 tengah hari di Pos Kawalan Kastam Kuala Lurah.

Majistret Hajah Noor Amalina binti DP Haji Alaihuddin memberi tempoh dua bulan kepada tertuduh untuk membayar denda atau berdepan sebulan penjara jika gagal membayar denda itu.

Fakta kes menyebut, tertuduh ketika ditahan memberitahu dia tidak mempunyai barang untuk diisytiharkan namun pemeriksaan oleh pegawai kastam telah menemukan sayap ayam dan tongkeng itu disimpan di beberapa bahagian kereta tertuduh.

Tertuduh memberitahu kesemua sayap ayam dan tongkeng ayam yang dibelinya pada harga $255 di sebuah kedai di Limbang adalah untuk kegunaan sendiri.

ARTIKEL YANG SAMA