Didik cara tangani kecemasan

Didik cara tangani kecemasan

Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

 

TEMBURONG, 4 Okt – Dalam mendidik orang ramai mengenai tindakan yang perlu dilakukan sekiranya terjadi kecemasan di rumah, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Perkhidmatan Elektrik dan Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn. Bhd. (BSM) telah mengadakan taklimat bagi penduduk Daerah Temburong yang berlangsung di ruang legar, Kompleks Kedai Bumiputera, Pekan Bangar.

Hadir sama mendengar taklimat selaku tetamu kehormat ialah Pegawai Tugas-Tugas Khas di Jabatan Daerah Temburong, Haji Azmi bin Haji Suhaili.

Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Ahad, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung di Daerah Temburong.

Selain mendengarkan taklimat, para hadirin turut berpeluang menyaksikan pameran daripada syarikat pembekal alat-alat penghalang kebakaran dan punca-punca kebakaran elektrik, memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api (Fire Extinguisher) dan selimut api (Fire Blanket).

Tetamu Kehormat bersama jemputan yang hadir.
Tetamu Kehormat bersama jemputan yang hadir.
Salah seorang Pegawai Jabatan Perkhidmatan Elektrik Temburong memberikan taklimat.
Salah seorang Pegawai Jabatan Perkhidmatan Elektrik Temburong memberikan taklimat.
Antara pameran yang mempamerkan alat-alat yang berkaitan dengan punca kebakaran elektrik pada hari taklimat tersebut.
Antara pameran yang mempamerkan alat-alat yang berkaitan dengan punca kebakaran elektrik pada hari taklimat tersebut.

Taklimat ini juga diharapkan dapat membantu orang ramai mengetahui dan mengenal pasti bahaya dan mengatasinya mengikut piawaian yang betul.

Di samping itu, masyarakat juga didedahkan mengenai kepentingan mempunyai peralatan penghalang kebakaran di rumah kerana ia boleh menyelamatkan nyawa dan harta benda serta mengurangkan kerugian.

Taklimat ini juga diadakan untuk mempertingkatkan lagi tahap kesedaran dan pengetahuan orang awam mengenai keselamatan di rumah-rumah persendirian, risiko yang dihadapi akibat kecuaian pemilik serta mengajar langkah-langkah keselamatan dan tatacara pengurusan dalam usaha mengurangkan kadar kes-kes kebakaran yang boleh menyebabkan kerugian, kecederaan dan kemalangan jiwa setiap tahun.

ARTIKEL YANG SAMA