Didik dunia dan akhirat

Didik dunia dan akhirat

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Julai – Ibu bapa bertanggungjawab dalam memastikan pendidikan sempurna kepada anak-anak demi kesejahteraan hidup dan kedudukan di dunia dan akhirat serta menjadi generasi berguna kepada negara.

Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini menekankan pendidikan yang perlu diberikan kepada anak-anak, bermula daripada awal lagi.

Menurut khatib, proses awal pendidikan mereka hendaklah merangkumi pendidikan akidah, ibadah dan akhlak selain kemahiran menulis dan membaca. Ini kerana kemahiran menulis dan membaca terungkap dalam wahyu pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W yang memerintahkan Rasulullah membaca atau ‘Iqra,’ bagi mendapatkan ilmu.

Kemahiran menulis dan membaca merupakan kunci kepada mendapatkan ilmu pengetahuan dan merupakan kunci kepada memahami, menghayati kandungan kitab suci Al-Quran yang di dalamnya mengandungi berbagai-bagai pengetahuan dan ilmu yang berguna kepada manusia. Malah kemahiran menulis dan membaca juga merupakan cara berkesan dalam mengajar dan menyebarkan ilmu dan maklumat yang bermanfaat kepada seluruh masyarakat, jelas khatib.

Kerajaan dalam usahanya memastikan rakyat negara ini celik ilmu, telah menguatkuasakan Akta Pendidikan Wajib 2007 dan Perintah Pendidikan Agama Wajib pada 2012 bagi memastikan semua kanak-kanak mengikuti persekolahan umum dan agama.

“Melalui Akta Pendidikan Wajib ini, para ibu bapa yang gagal menghantar ke sekolah apabila anak mereka cukup umur wajib disekolahkan, akan dikenakan denda atau hukuman lebih berat. Ini bertujuan memastikan anak-anak berumur antara enam hingga 15 tahun menerima pendidikan rendah dan menengah sama ada di sekolah kerajaan atau swasta secara berdaftar rasmi dan menerima pendidikan bersesuaian di sekolah.

“Kemudian tidak setakat itu, ibu bapa dan penjaga kanak-kanak perlu memastikan kehadiran atau kedatangan anak-anak mereka itu ke sekolah mengikuti jadual pelajaran sekolah,” kata Khatib.

Apa yang penting, semua ibu bapa dan ahli keluarga perlu sama-sama menanai amanah dan tanggungjawab ini supaya negara mampu menghasilkan modal insan yang benar-benar boleh membawa negara ke tahap pembangunan yang lebih baik dan berkesan bagi membentuk dan mengembangkan minda, jiwa dan rohani ke arah mengenali diri dan mencapai tahap kehidupan bermasyarakat yang sempurna, tambahnya.

ARTIKEL YANG SAMA