Didik golongan muda hargai perjuangan nenek moyang

Didik golongan muda hargai perjuangan nenek moyang

KAPIT, 24 April – Pengisytiharan tarikh 22 Julai sebagai cuti umum sempena hari kemerdekaan Sarawak daripada penjajahan British, membuktikan kerajaan mengiktiraf jasa pejuang negeri ini.

Sambil menyambut baik pengumuman mengenai perkara itu oleh Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem semalam, penduduk Sarawak berpendapat ia dapat menimbulkan penghargaan terhadap jasa nenek moyang mereka yang berjuang membebaskan negeri ini daripada cengkaman penjajah.

Guru Sekolah Kebangsaan Nanga Oyan yang terletak kira-kira 60 kilometer dari sini, Mimi Perpetua Pam, 33, berkata golongan muda terutama murid-murid sekolah mungkin tidak menyedari hari berkenaan merupakan tarikh amat penting bagi Sarawak. “Berikutan cuti umum ini, murid-murid di sekolah saya boleh mengadakan pelbagai aktiviti sampingan di luar bilik darjah sambil memperingati perjuangan nenek moyang mereka dalam membebaskan Sarawak daripada penjajah British,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Mimi berkata sebagai penduduk Sarawak, beliau amat berbangga apabila hari kemerdekaan negeri ini, dihargai dengan cuti peristiwa seperti diumumkan ketua menteri.

Adenan membuat pengumuman itu pada perasmian kemuncak program ‘Sejiwa Senada 2016’ di Matang@Metro City di Kuching. Cuti umum itu akan mula dilaksanakan tahun ini. – Bernama