Didik jiwa para belia semai rasa pemedulian

Didik jiwa para belia semai rasa pemedulian

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 14 Sept – Bersempena cuti penggal persekolahan kedua ini, pelbagai aktiviti telah pun diaturkan bagi mengisi waktu-waktu cuti persekolahan sama ada melalui sekolah, persatuan dan sebagainya.

Ini termasuk Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) cawangan Daerah Tutong yang menyediakan pelbagai aktiviti antaranya ialah Perkhemahan Suai Kenal yang diadakan baru-baru ini.

Program Suai Kenal yang bermula 9 hingga 11 September itu telah disertai oleh 39 orang peserta dari empat buah sekolah menengah di Daerah Tutong.

Menerusi program itu, para peserta seramai 10 orang turut berkesempatan menyampaikan sumbangan berupa makanan asasi kepada dua buah keluarga yang terpilih di Kampung Danau.

Sumbangan disampaikan oleh Pengarah Kebangsaan PBSM, Haji Abu Bakar bin Abdul Rahman dan turut disaksikan oleh Pemangku Ketua Kampung Danau, Haji Abdullah bin Haji Mohd Tahir.

Warga Program Perkhemahan Suai Kenal PBSM cawangan Daerah Tutong bergambar ramai bersama pemangku ketua Kampung Danau dan keluarga yang menerima bantuan.
Warga Program Perkhemahan Suai Kenal PBSM cawangan Daerah Tutong bergambar ramai bersama pemangku ketua Kampung Danau dan keluarga yang menerima bantuan.
Haji Abdullah turut menyampaikan sumbangan kepada ahli keluarga yang terpilih.
Haji Abdullah turut menyampaikan sumbangan kepada ahli keluarga yang terpilih.

Menurut Kem Komandan Perkhemahan PBSM Daerah Tutong, Awang Fadhilah bin Hifni, menjelaskan antara tujuan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang dilakukan itu adalah semata-mata untuk mendidik jiwa para belia agar menyemai rasa pemedulian terhadap masyarakat, lebih-lebih lagi mereka yang memerlukan perhatian dan bantuan.

Selain itu juga ia bertujuan untuk mendisiplinkan para peserta yang terdiri daripada belia-belia muda agar mengamalkan sikap suka bantu-membantu, bertanggungjawab, prihatin dan penyayang.

Nilai-nilai positif ini perlu dibentuk dalam melahirkan generasi berwawasan yang diperlukan oleh negara agar menjadi belia yang berhemah dan berakhlak mulia.

ARTIKEL YANG SAMA