Didik masyarakat bebas dadah

Didik masyarakat bebas dadah

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 25 Ogos – Suasana tempat kerja yang selamat dan terjamin bukan saja isu yang sangat dititikberatkan oleh Syarikat Mashhor General Contractor Sendirian Berhad (MGCSB) malah sihat serta bebas daripada penyalahgunaan dadah dalam kalangan kakitangannya juga menjadi fokus utama syarikat berkenaan sejak ia ditubuhkan lagi.

Perkara tersebut ditekankan oleh Pengurus Jabatan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (HSSE) MGCSB, Awang Mohd Rizal bin Dr Haji Abdul Latif di Majlis Kempen Pembanterasan Penyalahgunaan Dadah yang diadakan di ibu pejabat syarikat itu, pagi tadi.

Menurutnya, sejak sepuluh tahun lalu mereka turut berperanan teguh dalam memastikan kalangan pegawai dan kakitangannya bebas daripada penglibatan kegiatan jenayah dadah, yang juga merupakan sebahagian daripada agenda utama polisi syarikat yang menganggap jenayah dadah merupakan isu nasional dan ia perlu terus diberikan perhatian dari semasa ke semasa.

Menurut Awang Mohd Rizal lagi, program itu juga diisikan dengan Taklimat Kesedaran Penyalahgunaan Dadah – oleh pegawai-pegawai Biro Kawalan Narkotik, dan program seperti ini katanya telah dilakukan secara berterusan setiap suku tahun, memandangkan semakin bertambahnya jumlah pekerja di syarikat itu.

“Bagaimanapun sejak beberapa tahun program ini kami laksanakan, syarikat ini telah mencatatkan keputusan yang positif bersih daripada sebarang penggunaan dadah kepada kalangan pekerja-pekerjanya, dan jika sekiranya syarikat mendapati terdapatnya mereka yang terlibat, kami akan menyerahkannya kepada pihak Biro Kawalan Narkotik (BKN) untuk proses seterusnya yang telah disediakan seperti bahagian pemulihan dan sebagainya,” katanya.

Warga BKN dan Syarikat MGCSB bekerjasama dalam Program Kempen Pembanterasan Penyalahgunaan Dadah.
Warga BKN dan Syarikat MGCSB bekerjasama dalam Program Kempen Pembanterasan Penyalahgunaan Dadah.

Program yang dikendalikan oleh Jabatan HSSE MGCSB dengan kerjasama BKN yang diketuai oleh Pegawai Kanan, Pengiran Haji Ali bin Pengiran Haji Samsudin dan dihadiri sama Pegawai Narkotik Awang Mohd Shukri bin Haji Asri, juga telah melibatkan lebih 30 orang kalangan kakitangan syarikat yang bekerja di bawah kontrak bersama Syarikat Minyak Brunei Shell Sendirian Berhad (BSP) dalam pengambilan ujian air kencing bagi pemeriksaan yang memastikan mereka bebas daripada penyalahgunaan dadah.

Sementara itu Pengiran Haji Ali ketika ditemu bual Media Permata berkata, program seumpamanya adalah berkesinambungan dengan program membanteras penyalahgunaan dadah yang telah dilaksanakan oleh jabatan itu, bukan saja melibatkan syarikat-syarikat swasta dan firma-firma, juga di institusi-institusi kerajaan, sekolah-sekolah dan sebagainya.

“Dengan pengambilan ujian air kencing tersebut, BKN bukanlah hendak mencari kesalahan individu, tetapi sebagai langkah terus memberikan kesedaran kepada masyarakat, selain ia merupakan kerjasama yang erat daripada kami dengan syarikat-syarikat swasta yang menjadikan isu dadah sebagai fokus keselamatan utama mereka,” katanya.

Menurutnya lagi, BKN akan terus berperanan dalam sama-sama memberikan kesedaran dan pengetahuan kepada masyarakat dan penduduk di negara ini untuk menghayati serta mendidik ke arah masyarakat yang sihat dan bebas daripada dadah.

“Kehadiran pihak BKN, adalah sebagai membantu menyokong inisiatif syarikat dalam kesedaran membanteras dadah di negara ini, dan program seperti ini bukanlah perkara baru, tetapi dilakukan secara berterusan dan sebagai satu kegiatan di bawah satu bumbung dengan program penyebaran kesedaran BKN tentang penyalahgunaan dadah di negara ini,” ujarnya.

Pengambilan ujian air kencing ke atas pekerja merupakan sebahagian daripada Polisi Dadah dan Minuman Keras Syarikat, dan program itu merupakan kali keempat ia diadakan oleh Syarikat MGCSB, yang dihadiri sama oleh wakil daripada AEC BSP, Awang Junaidi bin Haji Yusof dan Haji Asmadi bin Haji Mohd Yusof.

ARTIKEL YANG SAMA