Didik pelajar hal hidupan liar

Didik pelajar hal hidupan liar

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 11 Ogos – Syarikat Brunei Methanol Sdn Bhd (BMC) dengan kerjasama Bahagian Hidupan Liar, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) hari ini mengadakan Program Jerayawara Hidupan Liar ke Sekolah-sekolah Menengah dan Institusi Tinggi di Daerah Tutong yang diadakan di Pusat Tingkatan Enam (PTE) Tutong.

Program jerayawara ini merupakan program kali kedua diadakan selepas Sekolah Menengah Sufri Bolkiah pada April lalu.

Pada kali ini, seramai 108 orang pelajar dan guru-guru dari PTE Tutong, Sekolah Menengah Tanjong Maya, Sekolah Menengah Sayyidina Othman dan Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) bersama pegawai dan kakitangan dari Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan menghadiri jerayawara tersebut.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pengerusi Lembaga Bandaran Tutong, Awang Shahminan bin Haji Tengah.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif BMC, Awang Daud bin Haji Jais semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya, telah melahirkan harapan agar program tersebut akan dapat menepati objektifnya dalam melahirkan dan menjadikan masyarakat kepada insan yang lebih penyayang terhadap hidupan liar disamping mengongsikan maklumat kepada rakan-rakan persekolahan dan ahli keluarganya.

Para penuntut dan guru-guru menyaksikan pameran yang ditunjukkan ketika jerayawara itu.
Para penuntut dan guru-guru menyaksikan pameran yang ditunjukkan ketika jerayawara itu.

Program jerayawara berkenaan diisikan dengan taklimat daripada Bahagian Hidupan Liar yang menjelaskan mengenai peranan dan fungsi Bahagian Hidupan Liar, tindakan dan penguatkuasaan Bahagian Hidupan Liar.

Selain itu, taklimat juga disampaikan oleh Biodiversity & Natural History Society (BruWild); Brunei Birders Enthusiast, Haji Husini bin Bakar dan Naturalist Eco Tourism Guide, Awang Muhammad Daud bin Abdullah (Jungle Dave).

Bagi memeriahkan lagi program tersebut, sesi kuiz bagi penuntut-penuntut turut dijalankan, kemudian menyaksikan penyampaian poster dan risalah kehidupan liar kepada pengetua-pengetua dan penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat.

Selain menyampaikan sesi taklimat, program jerayawara juga menjalankan mini pameran daripada Bahagian Hidupan Liar, Jungle Dave, Kelab Hidupan Liar PTE Tutong, Pengendali Pelancongan dan BruWild.

Salah seorang pelajar dari Sekolah Menengah Tanjong Maya yang dijemput menghadiri program tersebut, Camara Anastasia menyatakan perasaan berpuas hati dan berterima kasih kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan badan-badan swasta yang terlibat menjalankan program jerayawara tersebut kerana berusaha menyedarkan mereka tentang pentingnya hidupan liar.

“Dengan adanya program seperti ini, ia memberikan kami kesedaran tentang kepupusan hidupan liar yang berlaku di mana-mana. Oleh itu, program tersebut dapat membuka mata kami untuk lebih cintakan kepada binatang liar dalam memelihara kejadian alam sekitar,” jelas Camara.

Beliau seterusnya menyeru orang ramai untuk menghentikan sebarang pemburuan hidupan liar yang terancam dan hampir pupus.

Sementara itu, seorang lagi pelajar, Lo Yee Hao dari Sekolah Menengah Tanjong Maya, memuji pihak berkenaan kerana menjalankan program jerayawara ke sekolah-sekolah agar dapat menyedarkan masyarakat mengenai pentingnya menjaga dan memelihara hidupan liar yang terancam dan yang hampir pupus.

Program Jerayawara Hidupan Liar ini akan diadakan lagi untuk meningkatkan kesedaran awam bagi menjaga dan memelihara alam sekitar termasuk hidupan liar, terutama penuntut-penuntut di Negara Brunei Darussalam yang memainkan peranan utama dalam memastikan pemuliharaan hidupan liar untuk generasi hadapan.

ARTIKEL YANG SAMA