Didik pengusaha mengenai proses pembayaran kerajaan

Didik pengusaha mengenai proses pembayaran kerajaan

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 April – Jabatan Perbendaharaan, Kementerian Kewangan dengan kerjasama pihak DARe (Darussalam Enterprise) baru-baru ini telah mengendalikan satu sesi kumpulan sasaran (focus group) untuk mendidik para pengusaha dan agensi kerajaan mengenai proses pembayaran kerajaan.

Sesi yang diadakan di Tingkat 1, Auditorium i-Centre, Berakas itu telah dihadiri oleh tetamu kehormat iaitu Setiausaha Tetap (Perindustrian) di Jabatan Perdana Menteri, Awang Adi Shamsul bin Haji Sabli dan Setiausaha Tetap (Prestasi) di Kementerian Kewangan, Awang Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, yang juga mengendalikan sesi dialog soal jawab bersama para pengusaha selepas sesi taklimat.

Antara matlamat sesi tersebut adalah untuk meningkatkan lagi kefahaman stakeholders yang berkenaan mengenai prosedur pembayaran yang telah ditetapkan, dokumen-dokumen yang relevan untuk disertakan dan kepentingan penerimaan pesanan belian dalam urusan perbekalan barangan dan perkhidmatan kerja.

Proses pembelian dan pembayaran itu telah dijelaskan lagi oleh Pemangku Timbalan Jurukira Agung, Awang Maswadi bin Haji Mohsin dalam pembentangannya.

Awang Ahmaddin mengendalikan dialog yang berlangsung selepas taklimat disampaikan.
Awang Ahmaddin mengendalikan dialog yang berlangsung selepas taklimat disampaikan.

Awang Maswadi berkata, setiap pembelian yang dilakukan perlulah disertai bersama dokumen pesanan belian daripada Treasury Accounting and Financial System (TAFIS) yang akan memberi jaminan terhadap pengusaha bahawa pengurusan pembelian telah dimasukkan ke dalam TAFIS dan peruntukan bagi membayarnya adalah tersedia.

Dalam taklimatnya, beliau menyatakan Jabatan Perbendaharaan telah menubuhkan sesi klinik bagi pengusaha yang ingin mendapatkan khidmat nasihat atau membuat aduan.

Sesi klinik tersebut diadakan pada setiap hari Isnin hingga Khamis dan Sabtu, dari jam 8:30 pagi hingga 3:30 petang di Kaunter Perkhidmatan Kewangan, Tingkat 2, Jabatan Perbendaharaan, bangunan Kementerian Kewangan.

Melalui klinik ini, para pengusaha dengan mudah untuk membuat pertanyaan status pembayaran mereka kepada pihak Jabatan Perbendaharaan dan wakil kementerian/jabatan yang berkenaan.

Bagi pembekal yang berhasrat untuk menghadiri sesi klinik atau membuat perjumpaan, bolehlah menghubungi pihak Jabatan Perbendaharaan menerusi talian Pusat Perkhidmatan Pelanggan di 2383444 atau menerusi e-mel di ppp@treasury.mof.gov.bn atau melalui laman Facebook rasmi Kementerian Kewangan di Ministry of Finance Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA