Didik warga dunia hargai masa depan

Didik warga dunia hargai masa depan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Okt – Ke arah hasrat untuk merealisasikan sasaran-sasaran utama dalam menghapuskan kemiskinan tegar dan menangani fenomena perubahan iklim bagi setiap warga dunia menjelang tahun 2030, Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Jabatan Sekolah-sekolah dan Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (STEP) telah melaksanakan Projek World’s Largest Lesson (WLL) atau Kuliah Terbesar Dunia di sekolah-sekolah kerajaan dan swasta di bawah Kementerian Pendidikan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, pelaksanaan inisiatif WLL, yang telah pun dilancarkan secara serentak di sekolah-sekolah negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada tarikh yang disyorkan oleh Project Everyone, iaitu selama tujuh hari persekolahan bermula 26 September hingga 5 Oktober.

Projek WLL merupakan salah satu inisiatif di bawah Project Everyone yang diperkenalkan semasa Forum Pendidikan Sedunia 2015 di Incheon, Republik Korea pada 19-22 Mei 2015 anjuran Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB atau UNESCO.

Projek itu bertujuan bagi menyebar luas dan mengongsi maklumat mengenai Matlamat Pembangunan Mapan (SDGs) 2015-2030 kepada warga dunia dalam tempoh tujuh hari.

Inisiatif itu bermatlamat mendidik warga dunia tentang pentingnya menghargai masa depan, yang mana setiap orang berhak memiliki taraf dan gaya hidup yang sihat dan selamat di seluruh dunia.

Antara aktiviti inisiatif WLL mengenai Matlamat Pembangunan Mapan.
Antara aktiviti inisiatif WLL mengenai Matlamat Pembangunan Mapan.
Bahan yang dihasilkan para pelajar semasa Projek WLL.
Bahan yang dihasilkan para pelajar semasa Projek WLL.

Perkara itu hanya boleh direalisasikan sekiranya semua warga dunia mengetahui dan menyedari, serta memahami dan bekerjasama ke arah mencapai matlamat SDGs 2015-2030.

Negara Brunei Darussalam selaku salah sebuah negara ahli PBB mempunyai peranan dan tanggungjawab bagi menyahut seruan seumpama ini dan menyokong untuk menterjemah hasrat SDGs 2015-2030 menerusi penyertaan aktif dalam program yang dianjurkan dengan melaksanakan inisiatif WLL di sekolah-sekolah di negara ini.

Dalam pada itu, tanggungjawab utama Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Sekolah-sekolah dan Pusat STEP bagi inisiatif ini adalah dalam membantu dan membimbing sekolah-sekolah, memantau dan menilai impak serta merancang bagi perlaksanaan projek pada masa jangka pendek dan jangka panjang.

Penuntut-penuntut yang disasarkan bagi inisiatif berkenaan terdiri daripada kalangan penuntut-penuntut Tahun 4 hingga 9 yang berumur di antara lapan hingga 14 tahun sebagai permulaan.

Sekolah-sekolah yang terlibat terdiri daripada 34 buah sekolah menengah kerajaan, kecuali pusat tingkatan enam. Manakala sekolah rendah terdiri daripada 12 buah sekolah rendah kerajaan dan 13 buah sekolah swasta yang dikenal pasti aktif dalam aktiviti Projek Pendidikan bagi Perkembangan Mapan (ESD) anjuran Pusat STEP.

Perlaksanaan inisiatif WLL di sekolah-sekolah adalah melalui guru-guru berdasarkan kepada tujuh tema dan 17 SDGs yang bersifat merentas kurikulum dan boleh diajar oleh guru-guru yang mempunyai latar belakang disiplin mata pelajaran berkenaan.

SDGs mempunyai 17 matlamat untuk dicapai menjelang tahun 2030 yang memfokuskan kepada tujuh tema iaitu tiada kemiskinan, tiada kebuluran, mencapai keselamatan makanan, peningkatan pemakanan dan menggalakkan pertanian yang sesuai, memastikan kehidupan yang sihat dan mempromosi kebajikan bagi semua peringkat umur, pendidikan, kemahiran dan pekerjaan, memastikan pendidikan yang inklusif, sama rata dan yang berkualiti serta mempromosi pendidikan sepanjang hayat dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang mapan, inklusif dan berterusan, serta pekerjaan yang penuh dan produktif dan terhormat bagi semua.

Matlamat-matlamat lain ialah dunia yang adil dengan mencapai kesamaan jantina dan kemandirian untuk semua wanita, mengurangkan jurang ketidaksamarataan dalam negeri dan dalam kalangan negara-negara, kemapanan dengan memastikan kewujudan bekalan air, pembekalan dan pengurusannya yang mapan serta sanitasi untuk semua, memastikan akses kepada bekalan tenaga yang mampu milik, diyakini, mapan dan moden untuk semua, membina prasarana yang berdaya tahan, menggalakkan perindustrian yang inklusif dan mapan, serta menyemai budaya inovasi, menjadikan bandar raya dan penempatan manusia sebagai tempat-tempat yang inklusif, selamat, berdaya tahan dan mapan.

Selain itu juga memastikan pola kepenggunaan dan produksi yang mapan, mengambil tindakan yang segera ke arah memerangi fenomena perubahan iklim dan mengatasi impaknya, memulihara dan menggunakan lautan, laut dan sumber-sumber marin bagi tujuan pembangunan mapan, melindungi, memulihara dan menggalakkan penggunaan mapan ekosistem darat, pengurusan hutan yang mapan, membanteras merebaknya gurun, dan menghentikan serta membanteras kemerosotan tanah dan kehilangan biodiversiti.

Selain itu, bagi mempromosi masyarakat yang aman damai dan inklusif bagi pembangunan mapan, menyediakan akses kepada keadilan untuk semua dan membina institusi yang efektif, dapat dipertanggungjawabkan dan inklusif pada setiap peringkat serta memperkasa kaedah-kaedah bagi melaksana dan menyemarakkan kerjasama global ke arah pembangunan mapan.

Sebagai tanggungjawab Negara Brunei Darussalam ke arah menjayakan agenda PBB dalam merealisasikan pencapaian SDGs menjelang 2030, Kementerian Pendidikan melalui jabatan-jabatan dan pihak yang berkenaan akan meneruskan lagi inisiatif WLL untuk disebarluaskan kepada penuntut-penuntut sekolah di Tahun 7, 8 dan 10.

Inisiatif itu juga bersesuaian dengan Wawasan Brunei 2035 yang menghasratkan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang mempunyai rakyat berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, kehidupan rakyat yang berkualiti dan ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.