Didikan agama untuk anak Rohingya

Didikan agama untuk anak Rohingya

JAKARTA, 26 Mei (dpa) – Indonesia akan menghantar lebih 230 kanak-kanak daripada penduduk minoriti Rohingya ke sekolah asrama Islam, lapor televisyen tempatan hari ini.

Kanak-kanak berkenaan adalah sebahagian daripada lebih 1,700 orang pelarian yang sampai ke pantai wilayah Aceh pada bulan ini selepas berminggu-minggu di laut.

“Beberapa sekolah asrama Islam di pulau Jawa bersedia menerima mereka jika mereka bersedia untuk belajar,” kata Menteri Hal Ehwal Sosial Khofifah Indar Parawansa di Metro TV.

“Kesemua kanak-kanak berkenaan adalah beragama Islam,” kata beliau.

Di tempat perlindungan sementara mereka di Aceh, kanak-kanak tersebut telah diajar bahasa dan pengajaran lain oleh anggota sukarelawan.

Menteri Hal Ehwal Sosial Indonesia, Khofifah Indar Parawansa.
Menteri Hal Ehwal Sosial Indonesia, Khofifah Indar Parawansa.

Malaysia dan Indonesia bersetuju pada minggu lalu untuk memberikan perlindungan sementara kepada lebih daripada 7,000 penghijrah, dengan syarat bantuan antarabangsa diterima dalam jangka panjang, selepas enggan membenarkan mereka mendarat pada mulanya.

Kedua-dua negara juga melancarkan usaha mencari dan menyelamat untuk orang pelarian yang dipercayai hanyut di laut tanpa makanan dan minuman.

Indonesia berkata penduduk Bangladesh menyumbang kepada kira-kira separuh daripada penghijrah yang dibawa masuk di Aceh dan mereka akan dihantar pulang disebabkan mereka tidak mempunyai tuntutan pelarian yang sah.

Beribu-ribu penghijrah, kebanyakan mereka anggota kumpulan etnik Rohingya Myanmar, telah terkandas dalam bot penyeludup di luar pantai Thailand, Malaysia dan Indonesia.

ARTIKEL YANG SAMA