Didikan kreatif dan inovatif

Didikan kreatif dan inovatif

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 11 Okt – Kompleks Membeli-belah KB Sentral, di sini, terus aktif mengadakan aktiviti yang boleh mencerdaskan otak dan cara berfikir kanak-kanak secara kreatif dan inovatif, dengan menganjurkan acara Minggu Kreatif yang dibukakan bagi penyertaan kalangan kanak-kanak yang berkunjung ke kompleks berkenaan.

Acara yang telah dibahagikan kepada beberapa aktiviti itu mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan kanak-kanak malahan ibu bapa dan penjaga mereka yang turut membantu memberikan sokongan dan dorongan sepanjang program itu diadakan.

Program yang diadakan selama empat hari, hingga hari ini, telah disertai oleh lebih 50 orang kanak-kanak yang berusia antara lapan hingga 14 tahun.

Antara aktiviti yang diadakan termasuk membuat kraf tangan daripada barangan terbuang yang diadakan pada hari pertama, 8 Oktober lalu, kemudian diteruskan dengan beberapa aktiviti lainnya termasuk menyelesaikan teka-teki susun suai gambar, pertandingan mewarna serta pertandingan mengeja.

Kelihatan kanak-kanak sedang menumpukan sepenuh perhatian untuk menyelesaikan teka-teki jigsaw, yang merupakan salah satu aktiviti Minggu Kreatif disediakan oleh penganjur di KB Sentral.
Kelihatan kanak-kanak sedang menumpukan sepenuh perhatian untuk menyelesaikan teka-teki jigsaw, yang merupakan salah satu aktiviti Minggu Kreatif disediakan oleh penganjur di KB Sentral.

Beberapa orang ibu bapa yang terlibat dalam Minggu Kreatif itu memberitahu, mereka sangat gembira dengan program-program yang telah disediakan oleh pihak KB Sentral sejak pusat membeli-belah itu beroperasi di daerah ini.

“Kini kami tidak lagi perlu pergi jauh ke Bandar Seri Begawan untuk tujuan mendapatkan keperluan yang kami mahukan, kerana di KB Sentral semuanya sudah ada termasuk banyak pilihan tempat makan dan minum, serta pasar raya satu perhentian, selain kami gembira mereka turut menyediakan berbagai-bagai aktiviti yang boleh mengisi masa terluang anak-anak kami sama ada di musim cuti persekolahan ataupun di hujung Minggu,” kata Dayang Aminah.

Berbagai-bagai hadiah menarik juga telah disediakan untuk menyuntikkan lagi semangat bertanding dalam kalangan peserta muda berkenaan, selain berpeluang menambahkan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman baru.

ARTIKEL YANG SAMA