Diego Costa dikejarkan ke hospital

Diego Costa dikejarkan ke hospital

LONDON, 17 Jan – Chelsea bakal menghadapi masalah di bahagian serangan selepas penyerang mereka, Diego Costa, terpaksa dibawa ke hospital bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut ke atas tulang ketingnya.

Costa mengalami kecederaan terbabit pada aksi menentang Everton malam tadi yang berkesudahan dengan keputusan 3-3.

Pengendali Chelsea, Guus Hiddink, berkata Costa ‘teramat sakit di bahagian tulang keting’.

“Dia akan menjalani imbasan dan kami perlu menunggu keputusan imbasan terbabit bagi mengetahui sejauh mana tahap kecederaannya itu.

“Namun, saya berharap ia tidak serius,” katanya.

Walaupun begitu, kecederaan yang dialami Costa ini tidak akan membuatkan The Blues panik dan terburu-buru bagi mendapatkan penyerang baharu pada tempoh perpindahan Januari ini.

“Kami belum berbuat apa-apa lagi (mendapatkan penyerang baharu). Kami berharap Diego akan pulih dengan segera dan kami akan teruskan perancangan yang sudah disusun sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Hiddink turut mengesahkan satu lagi penyerang mereka, Radamel Falcao masih belum dapat diturunkan berikutan kecederaan serius pada bahagian paha.

Keputusan seri ini bermakna Chelsea kekal hampir di tempat tercorot liga berbanding slot bagi saingan Eropah dan Hiddink mengakui hasrat bagi menyudahi liga di empat teratas semakin pudar.

“Hasrat kami sekarang adalah menduduki tempat keempat liga, kami perlu menghasilkan tiga mata dalam setiap perlawanan,” kata Hiddink, yang mana skuadnya juga mendapat keputusan seri 2-2 pada perlawanan sebelum ini menentang West Bromwich Albion. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA