Diego Costa menjadi punca

Diego Costa menjadi punca

LONDON, 25 Jan – Diego Costa dituduh sengaja menyebabkan Per Mertesacker diarahkan keluar padang yang membawa kepada kekalahan 1-0 Arsenal di laman sendiri kepada Chelsea, awal pagi tadi.

Tuduhan itu dilemparkan pengurus Arsenal, Arsene Wenger selepas harapan barisan kendaliannya untuk kekal di tangga teratas liga Perdana Inggeris (EPL) terjejas yang kini menyaksikan penguasaan kembali Leicester.

Mertesacker dilayangkan kad merah kerana membuat bentesan ke atas Costa pada minit ke-18 dan selepas itu menyaksikan Costa menjaringkan satu-satunya gol lima minit kemudian, selepas bijak menguis bola hantaran lintang Branislav Ivanovic.

Costa juga menjadi penyebab di sebalik layangan kad merah ke atas Gabriel pada September lalu, selepas pertahanan itu menyepaknya tatkala Chelsea meraih kemenangan 2-0.

Namun ketika terjahan Mertasacker seolah-olah benar, Wenger tetap berasakan penyerang Sepanyol itu harus dipersalahkan.

Arsene Wenger kelihatan tidak berpuas hati dengan hasil perlawanan tersebut. ­– Reuters
Arsene Wenger kelihatan tidak berpuas hati dengan hasil perlawanan tersebut. ­– Reuters

“Dialah menyebabkan dua pemain dilayangkan kad merah pada musim ini,” kata Wenger. “Saya menuduhnya tanpa sebab, tapi itu adalah faktanya.”

Pengendali dari Perancis itu menambah: “Itu sudah tentu adalah sebahagian daripada kerja seorang penyerang, dan Costa sangat bagus dalam melakukannya.” Pengendali sementara Chelsea, Guus Hiddink, berkata pengadil Mark Clattenburg membuat keputusan yang tepat dengan mengarahkan pertahanan Jerman itu untuk keluar dari padang.

“Tidak, tidak syak lagi,” katanya. “Diego sepatutnya boleh berlari dengan bola terus ke (penjaga gol) Petr Cech, tetapi dijatuhkan. Ia jelas sekali kad merah.”

Keputusan itu menafikan peluang Arsenal untuk kembali merampas tangga teratas EPL daripada Leicester City dan menyebabkan mereka tersungkur ke tangga ketiga di bawah Manchester City berdasarkan perbezaan gol.

Kapten Chelsea, John Terry, berkata keupayaan pasukannya menguasai permainan mampu meningkatkan kepercayaan juara bertahan untuk kembali merapatkan jurang 14 mata yang memisahkan mereka dengan slot ke Liga Juara-Juara. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA