Digantung jawatan kerana minta duit raya

Digantung jawatan kerana minta duit raya

JAKARTA, 29 Jun (Bernama) – Mahkamah Agung telah menggantung jawatan seorang Ketua Pengadilan Negeri di Tembilahan, Riau di Sumatera kerana didapati meminta ‘duit raya’ atau disebut sebagai Tunjangan Hari Raya (THR) daripada beberapa buah syarikat di daerah itu.

Ketua Pengadilan Negeri ialah setaraf majistret dan mengetuai mahkamah paling rendah dalam sistem kehakiman di Indonesia.

Media-media dalam talian tempatan memetik Ketua Biro Hukum dan Hubungan Masyarakat Mahkamah Agung, Ridwan Mansyur sebagai berkata, Ketua Pengadilan Negeri itu Erstanto Windiolelono dijatuhi hukuman gantung kerja sebagai tindakan disiplin segera dan satu tindakan lanjut akan diumumkan kemudian.

Katanya, pasukan siasatan mendapati Erstanto sememangnya melakukan perbuatan itu dan ia dianggap sebagai satu kesalahan berat serta melanggar kod etika kehakiman.

Perbuatan Erstanto yang menghantar surat rasmi kepada para peniaga setempat di Riau itu didedahkan oleh media-media tempatan baru-baru ini dan pihak Mahkamah Agung kemudiannya terus menghantar satu pasukan untuk membuat siasatan.

ARTIKEL YANG SAMA