DiGi akan terus labur bangun rangkaian berkualiti tinggi tahun depan

DiGi akan terus labur bangun rangkaian berkualiti tinggi tahun depan

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) – DiGi Telecommunications Sdn Bhd akan menyediakan peruntukan besar melabur dalam pembangunan rangkaian berkualiti tinggi yang meluas dan menumpukan kepada ketumpatan rangkaian bagi memastikan pelanggan mendapat perkhidmatan 4G LTE berkualiti tinggi, kata Ketua Pegawai Pemasarannya, Christian Thrane.

Thrane berkata syarikat telekomunikasi itu akan mempercepatkan pelancaran rangkaiannya bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia menikmati perkhidmatan Internet berkelajuan tinggi yang konsisten di mana-mana sahaja mereka pergi.

“Kami gembira rakyat Malaysia melihat nilai liputan 4G LTE yang baik, dan berharap dapat melihat pelanggan DiGi menikmati pengalaman internet berkelajuan tinggi konsisten di mana-mana sahaja mereka pergi dengan semua yang mereka mahu lakukan: video berkualiti tinggi dan penstriman muzik, perkongsian pantas di media sosial, antara lainnya,” katanya dalam satu kenyataan.

DiGi juga dijangka melancarkan 4G LTE di 10 kawasan tahun depan, termasuk Jejawi, Perlis, Lunas, Kedah, Limbang, Sarawak dan Tenom, Sabah.

Selain daripada itu, DiGi juga sedang dalam usaha membawakan perkhidmatan Voice-over-LTE (VoLTE) dan Voice-over-WiFi (VoWiFi), dan telefon pintar yang sesuai dengan 4G LTE kepada pelanggan pada 2016.

VoLTE akan menambah baik pengalaman panggilan bagi pelanggan dengan audio kualiti tinggi, sambungan panggilan pantas dan dan penggunaan data serentak, manakala VoWiFi akan membantu pelanggan menikmati liputan dalam bangunan yang bertambah baik.