Digista Teens peluang tonjol bakat

Digista Teens peluang tonjol bakat

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Nov – Negara Brunei Darussalam khususnya Radio Televisyen Brunei (RTB), buat kali pertama menjadi tuan rumah kepada Projek Digista Teens Kesatuan Penyiaran Asia Pasifik (ABU) 2015, yang dari 18 hingga 23 November.

Sehubungan dengan itu, majlis perasmiannya telah dilancarkan oleh Ketua Rancangan-rancangan TV, RTB, Hajah Zalinar binti Haji Abdullah di Kompleks RTB, Sungai Akar.

Hajah Zalinar dalam ucapan alu-aluannya berkata, Projek ABU Digista Teens itu merupakan kali kelima diadakan dan buat kali pertamanya RTB menjadi hos bagi acara penuh bermakna itu.

Persediaan bagi acara berkenaan telah dimulakan sejak awal 2015 dan RTB memberikan sokongan penuh supaya projek itu dapat berjalan dengan lancar, ujarnya.

Beliau menambah lagi, acara atau projek yang membawa tema kegembiraan (happiness) itu bukannya satu pertandingan tetapi merupakan peluang bagi karyawan remaja untuk mengetengahkan diri mereka dengan imej-imej video serta untuk mencari bakat terpendam dan berharap semua peserta akan menyokong dan berpegang teguh kepada tema berkenaan.

Para peserta projek berkesempatan bergambar ramai bersama mentor-mentor mereka.
Para peserta projek berkesempatan bergambar ramai bersama mentor-mentor mereka.

Para peserta yang mengambil bahagian projek berkenaan adalah terdiri daripada stesen penyiaran ahli ABU termasuk wakil dari RTB (Negara Brunei Darussalam), National Broadcasting Services of Thailand (Thailand), Radio Televisyen Malaysia (Malaysia), National Television of Kampuchea (Kemboja), Vietnam Television (Vietnam), Mongolian National Broadcaster (Mongolia), Bhutan Broadcasting Service (Bhutan) dan NHK Japan Broadcasting Corporation (Jepun).

ABU Digista Teens merupakan sebuah rancangan yang mengetengahkan kumpulan remaja yang berumur dari 17 hingga 24 tahun dalam memberikan tunjuk ajar cara-cara asas pembuatan rancangan ANIMASI dan menghasilkan sebuah cerita animasi menggunakan teknik dan peralatan digital terkini.

Objektif projek adalah untuk memberi peluang, pertukaran idea dan pemahaman dalam kalangan belia Asia melalui seni kreatif digital khususnya bidang animasi.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk mendedahkan generasi muda dalam menghasilkan karya seni di samping mendidik mereka agar boleh menilai kualiti sesuatu karya seni.

ARTIKEL YANG SAMA