Dihukum penjara miliki, mengambil dadah

Dihukum penjara miliki, mengambil dadah

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_151221_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Dis – Seorang lelaki penduduk tetap dijatuhi hukuman empat tahun dan lima bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, semalam atas tujuh pertuduhan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.

Keputusan itu dibuat Majistret Pengiran Shahyzul Khairuddien bin Pengiran Haji Abdul Rahman ke atas Mohd Rudy Hidayat bin Abdullah, 38, yang terdahulu telah mengaku bersalah.

Tertuduh didakwa memakan dadah terkawal kelas A, Methylamphetamine pada 27 Julai 2012, 18 Disember 2012, 20 Mei 2013 dan 24 Oktober 2014.

Dia juga berdepan tuduhan memiliki peralatan memakan dadah, masing-masing pada 26 Julai 2012 di rumah kembar Kampung Rimba dan di kawasan letak kereta Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada 20 Mei 2013.

Mohd Rudy juga didakwa memiliki campuran kanabis seberat 0.3501 gram di kawasan Rancangan Perumahan Negara Panaga, Seria pada 23 Oktober 2014. Dalam bilik mahkamah yang sama, seorang lelaki tempatan dijatuhi tiga tahun dan 10 bulan penjara atas pertuduhan memiliki dan memakan dadah terkawal.

Haziman bin Haji Wahab, 30, didakwa memiliki 0.5118 gram Methylamphetamine dan memakannya pada 30 September 2010 di Kampung Perpindahan Mentiri dan juga berdepan dakwaan memiliki 0.7154 gram Methylamphetamine dan memakannya pada 2 November 2012 di Kampung Sungai Besar.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Narkotik, Norizanullah binti Haji Awang Jaya.

ARTIKEL YANG SAMA