Dihukum penjara, sebatan seludup warga asing keluar

Dihukum penjara, sebatan seludup warga asing keluar

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_161117_mahkamah-logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Nov – Pelanduk lupakan jerat, mungkin pepatah ini sesuai untuk seorang lelaki tempatan yang dijatuhi tiga tahun enam bulan penjara dan dua sebatan oleh Mahkamah Perantaraan di sini, hari ini, setelah didapati bersalah selepas perbicaraan terhadap pertuduhan menyeludup keluar seorang warga Indonesia ke Malaysia.

Muhamad Zulfadilah bin Harun, 29, turut dijatuhi denda $1 oleh Ketua Majistret Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli yang memberinya tempoh seminggu untuk membayar denda itu, dan jika gagal berdepan tambahan tujuh hari penjara.

Tertuduh sebelum ini pernah melakukan kesalahan yang sama pada Mei 2015 apabila membantu rakan sejenayahnya untuk menyeludup keluar dua lelaki warga Bangladesh dari Brunei melalui Pos Kawalan Sungai Tujoh.

Namun, dia dibebaskan dari tuduhan itu pada 1 Jun 2016 manakala rakan sejenayahnya telah dijatuhi hukuman dan sebat pada September 2015.

Dalam bilik mahkamah hari ini, tertuduh didapati menyeludup keluar seorang lelaki warga Indonesia melalui Pos Kawalan Sungai Tujoh pada 6 Jun 2016 untuk mendapatkan wang sebagai balasan.

Dia didapati bersalah di bawah Seksyen 7(1) Perintah Pemerdagangan dan Penyeludupan Orang, 2004 yang membawa denda tidak melebihi $1,000,000, penjara tidak melebihi daripada 30 tahun dan sebatan.

“Dalam kes seperti ini, hukuman empat atau lima tahun akan diberikan namun saya akan memberikan hukuman yang lebih rendah daripada biasa selepas mempertimbangkan hujahan rayuan dari peguam tertuduh yang menyatakan anak guamnya mengalami gangguan otak disebabkan oleh kemalangan kereta pada 2008 dan telah mengelak dari mendapatkan rawatan perubatan, kata Ketua Majistret yang juga berpendapat bahawa tertuduh adalah bukan sebahagian daripada sindiket penyeludupan.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya Emily Goh, tertuduh mengarahkan lelaki itu untuk bersembunyi di tempat duduk belakang dan ketika di kaunter imigresen, tertuduh hanya mengemukakan satu pasport namun keberadaan lelaki warga Indonesia di dalam kereta itu disedari oleh pegawai imigresen yang bertugas.

Kedua-dua mereka ditahan dan siasatan mendedahkan lelaki warga Indonesia itu telah memasuki Brunei di bawah tajaan sebuah syarikat tempatan untuk bekerja sebagai pemandu dan diberikan pas kerja yang sah sehingga 30 Disember 2013 sahaja.