Dijangka tarik 10,000 pengunjung

Dijangka tarik 10,000 pengunjung

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) – Persidangan dan Pameran BioMalaysia & Bioekonomi ASEAN 2015 dijangka menarik lebih 10,000 pengunjung perdagangan, 250 pempamer termasuk sebuah pavilion antarabangsa dari Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang melibatkan perbadanan multinasional (MNC), badan dan agensi kerajaan.

Acara tiga hari yang bermula pada 17 Ogos, 2015 itu juga dijangka disertai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari kesemua negara anggota ASEAN, yang akan mengetengahkan produk inovatif dan perkhidmatan.

Persidangan dan pameran itu juga akan membuka peluang perniagaan yang besar, yang mempunyai potensi ekonomi luas untuk rantau ini, kata Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp).

Acara tahun ini yang bertemakan ‘Bioteknologi ASEAN : Bio kepelbagaian kepada Kesejahteraan’, dianjur bersama oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan BiotechCorp, sempena kepimpinan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN 2015.

Menteri MOSTI Datuk Dr Ewon Ebin berkata acara tahun ini turut memasukkan Bio ekonomi ASEAN bagi menggalakkan pertumbuhan industri berasaskan bio serta menyebarluaskan manfaat ekonomi di rantau ini.

Bio Malaysia & Bio ekonomi ASEAN 2015 dijangka menggalakkan usaha sama dengan penggiat global dan merangsang inovasi dan pertumbuhan dalam sektor berasaskan bio, dengan matlamat meletakkan Malaysia sebagai kuasa utama Bio ekonomi pada masa akan datang.

Tumpuan tahun ini juga adalah ke atas penjagaan kesihatan dan kesejahteraan fasa berbeza dalam memulihara kebajikan rakyat.

ARTIKEL YANG SAMA