Dikir Maulud bergema

Dikir Maulud bergema

Oleh Pg Fairol RMF, Hajah Saemah Kepli dan Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Bagi menyemai rasa cinta dan kasih kepada Nabi Muhammad S.A.W, sempena Hari Keputeraan Baginda pada 12 Rabiulawal setiap tahun Hijrah, Dikir Maulud mula bergema di seluruh negara hari ini.

Dikir Maulud akan bergema selama 12 malam berturut-turut di semua masjid, surau-surau,dan balai-balai ibadat sehingga 12 Disember ini, bagi menyemarakkan hari kebesaran Islam yang disambut umat Islam di negara ini dan seluruh dunia.

Majlis pembukaan Dikir Maulud berlangsung di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara malam ini, menandakan bermulanya laungan Dikir Syarafil Anam di seluruh Negara.

Hadir pada majlis dikir itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Manakala di Daerah Belait, Majlis Pembukaan Dikir Maulud Nabi Muhammad S.A.W bagi Daerah Belait telah berlangsung di Masjid Muhammad Jamalul Alam di sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Hasmiron bin Haji Mohd Taib. Turut hadir ialah ketua-ketua jabatan dan cawangan Daerah Belait, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, pegawai-pegawai kerajaan dan swasta serta penduduk di sekitar Pekan Belait.

Menteri Hal Ehwal Ugama,Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othamn hadir pada majlis pembukaan Dikir Maulud di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara.
Menteri Hal Ehwal Ugama,Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othamn hadir pada majlis pembukaan Dikir Maulud di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien di ibu Negara.
Pesuruhjaya Polis ketika menghadiri Majlis Pembukaan Dikir Syarafil Anam di Surau Ibu Pejabat Polis, Gadong kelmarin. – Gambar Hakim Hayat
Pesuruhjaya Polis ketika menghadiri Majlis Pembukaan Dikir Syarafil Anam di Surau Ibu Pejabat Polis, Gadong kelmarin. – Gambar Hakim Hayat
Majlis Pembukaan Dikir Maulud Nabi bagi Daerah Belait telah berlangsung di Masjid Muhammad Jamalul Alam Kuala Belait.
Majlis Pembukaan Dikir Maulud Nabi bagi Daerah Belait telah berlangsung di Masjid Muhammad Jamalul Alam Kuala Belait.

Majlis tersebut diadakan sebagai tanda kasih terhadap Baginda Rasulullah S.A.W, di samping untuk menambahkan penghayatan beragama serta mensyiarkan kemuliaan Islam sebagai agama yang diredai oleh Allah S.W.T dan telah didaulatkan menjadi agama rasmi negara.

Tidak ketinggalan mengadakan Dikir Maulud malam tadi ialah Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) melalui Badan Ugama Islamnya di Surau Ibu Pejabat Polis, Gadong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam. Turut hadir ialah pengarah-pengarah jabatan serta para pegawai Pasukan Polis Diraja Brunei.

Majlis telah didahului dengan solat hajat dan solat fardu Maghrib berjemaah sebelum diteruskan dengan pembukaan Dikir Syarafil Anam yang dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh imam Surau Ibu Pejabat Polis.

ARTIKEL YANG SAMA