Dilema seorang anak masa kini

Dilema seorang anak masa kini

KUALA LUMPUR – Dalam era serba moden ini, fitrah manusia tidak lari daripada mahu mengejar semua aspek dan elemen kehidupan yang serba serbi canggih dengan teknologi, pantas dan berdaya saing. Tidak dinafikan untuk mencapai keperluan yang semakin mendesak ini, adakala manusia sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai matlamat.

Rencana ini ingin melihat aliran sebegini telah mulai menjadi ‘racun’ dalam dunia keibubapaan hari ini, yang ternyata lebih cenderung terburu-buru mempersiapkan anak mereka tanpa mempedulikan perasaan, minat mahupun bakat semulajadi anak itu. Ini berikutan dikhabarkan baru-baru ini ada ibu bapa yang mula menghantar anak mereka sekecil usia empat tahun ke pusat tuisyen dan kelas tambahan untuk persediaan mereka menempuhi alam persekolahan kelak.

Persoalannya, adakah kewajaran di sebalik tindak-tanduk golongan ibu bapa yang berbuat demikian? Apakah relevan perilaku kita sebagai yang dewasa terhadap anak kecil yang mungkin sebenarnya belum pun bersedia secara fizikal, mental apatah lagi emosi, dalam proses menerima apa jua pembelajaran berbentuk formal?

Salah siapa?

Sebagai seorang ibu kepada dua cahaya mata, penulis juga terfikir apakah sebenarnya yang memangkin kepada ‘kebangkitan’ persaingan yang wujud dalam masyarakat hari ini? Merungkai segala kecelaruan yang terbuku, Pengasas dan Pengarah Urusan Pusat Perkembangan Minda Kanak-Kanak KinderKaizen, Dr Putri Afzan Maria Zulkifli memberitahu Bernama, senario hari ini berlaku disebabkan oleh pelbagai faktor penyumbang.

Mendekati anak dengan sifat bertenang sambil meneliti dan memahami sifat semula jadi mereka adalah sebenarnya perkara terpaling baik boleh dilakukan ibu bapa.
Mendekati anak dengan sifat bertenang sambil meneliti dan memahami sifat semula jadi mereka adalah sebenarnya perkara terpaling baik boleh dilakukan ibu bapa.

Antaranya adalah elemen ‘bersaing’ atau ‘perilaku bersaing’ yang sedia wujud dalam diri manusia, ditambah pula dengan faktor luaran khususnya budaya di sekeliling yang secara tidak langsung mempengaruhi elemen ‘bersaing’ itu. “Budaya atau norma masyarakat di dalam negara hari ini yang gemar berbincang dan membandingkan soal perkembangan anak masing-masing daripada sudut akademik, seperti dah jadi sangat terbiasa.”

“Berbeza di Finland misalnya, topik mengenai akademik tidak sekalipun jadi topik perbincangan selagi anak itu belum menjangkau usia tujuh tahun. Kebiasaannya, apa yang mereka selalu perkatakan menyentuh soal fasa perkembangan seperti soal keupayaan anak mereka mampu untuk sama ada bermain ‘skateboard’ ataupun ‘wall-climbing’,” katanya.

Putri Afzan juga berpendapat, persepsi mahupun tanggapan skeptikal beginilah sebenarnya menafikan hak kanak-kanak yang secara fitrahnya suka bermain dan menggemari aktiviti bebas melibatkan permainan.

Sungguhpun ibu bapa hari ini mempunyai pengetahuan yang tinggi sekaligus mampu untuk menyediakan pembelajaran yang terbaik untuk anak mereka, sewajarnya mereka perlu sedar bahawa pelaburan dibuat bukanlah perlu semata-mata untuk pembelajaran berteraskan akademik sahaja.

Perkembangan otak

Putri Afzan menjelaskan adalah lebih kritikal lagi apabila rata-rata tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh golongan ibu bapa ini sebenarnya terlalu memfokus kepada pembangunan kognitif otak yang perkembangan pada usia enam tahun pertama kanak-kanak hanyalah sekadar 10 peratus sahaja.

Berbanding hampir 90 peratus bahagian otak yang lain, kesemua komponen akan berhubung dan berfungsi sepenuhnya menerusi aktiviti bermain. “Cuba bayangkan sedangkan 90 peratus bahagian otak (yang berkembang sepenuhnya menerusi bermain) itupun tidak sepenuhnya lagi berkembang, bagaimana 10 peratus bahagian kognitif tersebut hendak dicapai?.”

Berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) Sains Kognitif dari Universiti Sussex, Britain, Putri Afzan percaya penekanan terhadap akademik turut menjadi punca ketidakstabilan kortisol yang boleh meningkatkan tekanan fizikal dan emosi di dalam tubuh.

Kortisol juga dipanggil ‘Hormon stres’ kerana ia dirembeskan dalam jumlah yang lebih besar sebagai sebahagian daripada tindak balas badan terhadap tekanan fizikal atau emosi, tambahnya. Ini tidak mustahil berlaku dalam diri kanak-kanak yang terkesan, sekiranya mereka tertekan, rungsing atau mengalami kemurungan.

Sekiranya ibu bapa terlalu mendesak anak ketika masih kecil, tahap kortisol yang tinggi akan terhasil menyebabkan otak tidak memproses secara betul. Bagaimanapun ibu bapa pada masa sekarang terus mendesak otak anak mereka sehingga tahap yang lebih daripada sepatutnya, yang akan berakhir dengan fungsi kognitif yang rendah.

Sebaliknya, kalau ibu bapa terlalu mengambil ringan seperti kerap memberikan anak kebebasan menonton televisyen atau bermain ‘games’ tanpa kawalan pula, rembesan kortisol yang rendah juga menyebabkan kegagalan fungsi yang sama.

Budaya atau norma masyarakat di dalam negara hari ini yang gemar berbincang dan membandingkan soal perkembangan anak masing-masing daripada sudut akademik, seperti ia sudah menjadi satu perkara yang biasa. – Bernama
Budaya atau norma masyarakat di dalam negara hari ini yang gemar berbincang dan membandingkan soal perkembangan anak masing-masing daripada sudut akademik, seperti ia sudah menjadi satu perkara yang biasa. – Bernama
Paling penting, fahami konsep dan keperluan fitrah anak yang memerlukan elemen bermain secara bebas tanpa ada sekatan mahupun paksaan, khususnya dalam menerima pembelajaran formal.
Paling penting, fahami konsep dan keperluan fitrah anak yang memerlukan elemen bermain secara bebas tanpa ada sekatan mahupun paksaan, khususnya dalam menerima pembelajaran formal.

“Oleh itu, adalah lebih baik untuk kita mengimbangi proses perkembangan dan pembelajaran secara bersederhana. Seandainya anak belum menunjukkan minat dan belum masanya untuk dia menerima apapun yang kita ingin terapkan, ambillah sikap bertenang. Percayalah, kalau betul sudah sampai masanya, tanpa dipaksa … mereka mampu melakukannya dengan baik,” jelas ibu kepada lima cahaya mata ini.

Kebahagiaan anak bukan keutamaan

Menurut Profesor Madya Dr Mastura Badzis dari Jabatan Psikologi Pendidikan & Kaunseling Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), impak psikologi ke atas kanak-kanak akibat daripada tekanan yang dihadapi sebenarnya masalah yang kian meruncing.

Justeru, tidak memeranjatkan jika menerusi kajian yang pernah dijalankan oleh beliau membuktikan, hanya sebilangan kecil ibu bapa sahaja yang mengutamakan aspek kebahagiaan anak dalam pemilihan jenis pra-sekolah yang bersesuaian. “Bayangkan, daripada 30 pasangan ibu bapa yang ditanya (menerusi analisis terperinci), hanya dua pasangan sahaja yang memilih ‘Kebahagiaan Kanak-kanak’. Paling tinggi memilih kecemerlangan akademik sebagai kriteria utama,” jelasnya.

Petunjuk lain antaranya memilih aspek isu permudah/praktikal (19), prospektus prasekolah/falsafah (14), reputasi (9) dan sebab peribadi (9). Kenyataan ini jelas menunjukkan kajian yang dijalankan sejak berpuluh tahun lamanya mengenai kepentingan bermain pada enam tahun pertama kanak-kanak adalah penting demi kelangsungan hidupnya apabila dewasa kelak.

Memetik banyak kajian Peter Gray, pakar psikologi Amerika dari Boston College yang cukup tersohor dengan lebih 40 tahun pengalaman di dalam evolusi ‘Permainan kanak-kanak’, pembelajaran berorientasikan ‘subjek’ berbanding ‘berasas perkembangan’ inilah menyumbang kepada permasalahan berbangkit yang Lain. “Hari ini, lebih banyak masa dan kaedah pembelajaran kanak-kanak diganti dan disusun atur oleh orang dewasa. Impak yang jelas adalah mereka ini membesar dengan kebolehan tidak boleh berfikir dan menyelesaikan masalah. Itu belum lagi mengakibatkan kesihatan fizikal seperti obesiti ataupun ‘tabiat bunuh diri’,” jelasnya.

Bertindak sebelum terlewat

Melihat kepada banyak contoh yang pernah berlaku mahupun implikasi buruk lain daripada berulang pada masa akan datang, ibu bapa hendaklah menambah lebih pengetahuan serta mengamalkan sikap keterbukaan dan menerima pembaharuan yang bersesuaian dalam mengenal potensi anak mereka. Paling penting, fahami konsep dan keperluan fitrah anak yang memerlukan elemen bermain secara bebas tanpa ada sekatan mahupun paksaan, khususnya dalam menerima pembelajaran formal.

Putri Afzan Maria menegaskan, mendekati anak dengan sifat bertenang sambil meneliti dan memahami sifat semulajadi mereka adalah sebenarnya perkara terpaling baik boleh dilakukan ibu bapa. “Relaks dan bertanggungjawab. Anda yang lebih memahami perilaku serta keupayaan anak. “Ia amat mudah, jika mereka gembira, itu adalah baik. Sedikit rasa bosan juga tidak mengapa kerana mereka akhirnya akan menjadi kreatif dan mampu menghasilkan permainan mereka sendiri,” katanya. – Bernama