Dimitrov juar...

Dimitrov juara Antarabangsa Brisbane

BRISBANE, 9 Jan – Grigor Dimitrov (gambar) dari Bulgaria memenangi gelaran pertama dalam tempoh dua tahun di mana dia menewaskan pemain nombor lima dunia, Kei Nishikori dalam tiga set untuk memenangai Antarabangsa Brisbane semalam.

Dalam persaingan akhir yang menarik di antara keduanya, Dimitrov memenangi Trofi Roy Emerson 6-2, 2-6, 6-3, gelaran perseorangan keempatnya dalam Jelajah ATP. Dimitrov berada dalam ranking kelapan dunia pada 2014 dan dengan nama samaran ‘Baby Fed’ kerana gaya permainannya yang sama dengan pemain terhebat Switzerland, Roger Federer.

Masalah kecederaan dan rentak hambar menyaksikan kemorosotannya pada 2015 dan separuh masa pertama tahun 2016, apabila dia tercicir ke kedudukan 40 dunia. Tetapi dia pulih pada akhir tahun lepas dan memasuki pertandingan pembukaan musim di ranking ke-17.

Kemenangan Brisbane menyaksikannya melonjak di tangga ke-15 apabila ranking dikeluarkan hari ini.

Dimitrov menegaskan dia tidak merasa di bawah tekanan kerana kemerosotan rankingnya dan berkata dia tahu dia akan mendapatkan ganjaran bagi kerja keras yang dilakukannya di luar gelanggang.

“Saya rasa ia adalah kemenangan emosi bagi saya, tetapi pada masa yang sama, ia tidak dijangka,” katanya.

“Saya meletakkan diri saya begitu tinggi bagi enam bulan pertama, dan salah satu darinya adalah untuk memenangi pertandingan,” tambahnya.

“Dan ia berlaku pada minggu pertama tahun ini.” – AFP