Dinaikkan pangkat Pemangku Kapten

Dinaikkan pangkat Pemangku Kapten

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Ogos – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), hari ini berkenan berangkat menghadiri majlis pengurniaan lencana pangkat kepada paduka anakanda Baginda, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli 920 Leftenan Pengiran Muda ‘Abdul Mateen yang telah dinaikkan pangkat kepada Pemangku Kapten.

Keberangkatan tiba Baginda Sultan di Mes Pegawai Bolkiah Garison telah dijunjung oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit dan Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.

Baginda kemudiannya berkenan menerima Tabik Hormat Diraja dan memeriksa kawalan kehormatan di Padang Kawad Kementerian Pertahanan, yang terdiri daripada anggota Tentera Darat Diraja Brunei.

Baginda Sultan berkenan mengenakan lencana pangkat Pemangku Kapten yang baru kepada Yang Teramat Mulia.
Baginda Sultan berkenan mengenakan lencana pangkat Pemangku Kapten yang baru kepada Yang Teramat Mulia.

Sejurus selepas itu, Baginda berangkat ke Mes Pegawai bagi mengenakan lencana pangkat Pemangku Kapten yang baru kepada Yang Teramat Mulia. Kenaikan pangkat berkenaan berkuat kuasa sejak 9 Mei 2016.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli 920 Kapten Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan menandatangani lembaran keberangkatan diraja.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan, pemerintah-pemerintah angkatan tentera, pengarah-pengarah awam dan tentera, komandan-komandan, pegawai-pegawai kanan serta pegawai Kementerian Pertahanan dan ABDB.

ARTIKEL YANG SAMA