Dinshe terus mengorak langkah dalam bidang seni

Dinshe terus mengorak langkah dalam bidang seni

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT – Setentunya ramai yang pernah mendengar lagu Kau Yang Terhebat dendangan kumpulan Dinshe yang berjaya menambat hati ramai pendengar sekali gus menaikkan nama kumpulan itu di persada muzik tanah air.

Kumpulan Dinshe merupakan sebuah kumpulan tempatan yang berasal dari Daerah Tutong yang dianggotai oleh tujuh orang ahli iaitu Muhd Shaiful Arif bin Haji Zolkipli, Muhammad Waliyuddin bin Haji Ismail, Muhammad Harrin bin Haji Harris, Mohammad Fadil bin Aminuddin, Muhammad Hazwan bin Anwar, Muhammad Saufan bin Awang Ashak dan Dayang Rina Nurhamizah Emizza binti Abdul Rani.

Kesemua anggota kumpulan itu mula bermain muzik bersama-sama sehingga ke hari ini selama 10 tahun sejak 2006 lagi dan secara kebiasaannya mereka akan masuk ke studio dan bermain muzik Rock tetapi kadangkala mereka akan bermain muzik-muzik lain yang dipinta oleh orang ramai di majlis-majlis keramaian.

Kau Yang Terhebat menjadi lagu yang paling banyak yang diputarkan atas permintaan pendengar di Pelangi FM, selepas disiarkan di rangkaian tersebut pada bulan Ogos 2010.

Lagu itu ditulis oleh vokalis kumpulan itu, Ewan dan komposisi lagu pula dihasilkan oleh kumpulan Dinshe sendiri.

Anggota kumpulan Dinshe yang popular dengan lagu Kau Yang Terhebat.
Anggota kumpulan Dinshe yang popular dengan lagu Kau Yang Terhebat.

Selain itu, lagu Kau Yang Terhebat telah menduduki tangga teratas Carta Kitani sebanyak lapan minggu berturut-turut.

Dalam temubual bersama Media Permata, Rina telah menceritakan mengenai asal-usul kumpulan itu.

“Selama kami bermain muzik bersama-sama, kami tidak pernah menyangka bahawa kami akan pergi sejauh ini sebagai sebuah kumpulan tempatan,” katanya.

Rina memberitahu mereka bermula dari kecil iaitu ketika masih berada dalam peringkat remaja lagi yang hanya secara suka-suka sahaja untuk bermain muzik dan sebagai aktiviti bagi mengisi masa lapang merekadan bermain untuk keluarga dan kawan-kawan dalam acara-acara kecil.

Menurutnya lagi, mereka belajar dari beberapa kumpulan tempatan dan penerbit-penerbit muzik tanahair yang lain mengenai cara untuk memajukan diri dalam bidang muzik tanahair, bertemu dengan mereka dan berkesudian untuk mengongsikan selok-belok dalam bidang tersebut dan begitulah kisah permulaan perjalanan seni kumpulan Dinshe yang mampu bertahan sehingga ke hari ini.

“Kami telah banyak menulis karya lagu-lagu kami sendiri namun kami tidak tahu bagaimana dan di mana untuk menerbitkannya, tidak lama selepas itu melalui perkenalan kami dengan beberapa kumpulan tempatan yang lain serta bertemu dengan beberapa penerbit muzik di negara ini kami telah dapat menyiarkan lagu-lagu kami di radio,” jelas Rina lagi.

Selepas dinobatkan sebagai pemenang anugerah ‘Top New Duo / Band’ di Anugerah Pelangi 2010-2011, nama kumpulan Dinshe semakin diketahui oleh ramai orang dan kerap dipelawa sebagai artis undangan bagi menghiburkan majlis-majlis keramaian.

“Syukur Alhamdulillah sejak dari saat itu kumpulan Dinshe giat bermain muzik dan aktif dalam mengikuti acara-acara lain seperti membuat persembahan di Karnival DST, membuat persembahan di Muzik Live @ Miri City Fair di Miri, Sarawak serta menghasilkan muzik video bagi lagu Kau Yang Terhebat. Pada 2013 kami sekali lagi dicalonkan dalam Anugerah Pelangi 2012-2013 di bawah kategori Top Duo Pilihan / Band” ujarnya lagi.

Pada masa yang sama kumpulan Dinshe juga mendapat ramai pengikut setia di laman web sosial seperti Facebook dan Youtube.

Rina menyatakan bahawa setiap ahli dalam kumpulan ini membawa keunikan tersendiri serta mempunyai pengetahuan yang meluas dalam bidang muzik.

Di samping itu,mereka juga sentiasa mempelajari muzik antara satu dengan yang lain dan itulah yang menjadikan kumpulan ini menjadi semakin rapat kerana tetap berpegang pada prinsip suka menerima cadangan dan kritikan yang membina secara terbuka dari orang lain.

Konsep dan pembawaan lagu Kau Yang Terhebat di anggap sangat catchy dan liriknya juga sangat menyentuh perasaan ramai peminat serta pendengar yang menyebabkan lagu tersebut sangat disukai dan diterima sehingga kini.

ARTIKEL YANG SAMA