Dipenjara 3 bulan gara-gara pecah amanah

Dipenjara 3 bulan gara-gara pecah amanah

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160929_mahkamah-logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Mahkamah Perantaraan di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara selama tiga bulan ke atas seorang Tradesman di Jabatan Kerja Raya (JKR) selepas mengaku bersalah bagi pertuduhan alternatif melakukan pecah amanah, pada 2014.

Hakim Ramzidah binti Pehin Datu Kesuma Diraja Kol (B) Haji Abdul Rahman menjatuhkan hukuman itu ke atas Tapak@Zamil bin Tingkah, 54, yang didakwa melakukan kesalahan itu antara 29 Ogos dan 14 September 2014 apabila diamanahkan dengan wang kutipan harian Tol Rasau berjumlah $12,300 milik JKR.

Dia bagaimanapun telah membayar balik wang yang diamanahkan itu pada 29 September dan 8 November 2014, selepas laporan polis dibuat pada 20 September 2014.

Fakta kes menyebut, sekitar 29 Ogos dan 14 September 2014, tertuduh menerima kutipan wang Tol Rasau daripada pemandu namun gagal untuk menyerahkannya kepada Unit Hasil, sebaliknya telah menyimpan duit kutipan harian itu untuk perbelanjaannya.

Perbuatannya bagaimanapun diketahui oleh pegawai atasannya pada 14 September 2014. Kes tertuduh disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Perdagangan dan didakwa oleh Timbalan Pendakwa Raya, Yvonne Lim.

Hakim memerintahkan hukuman tertuduh berkuat kuasa pada tarikh dia mengaku bersalah iaitu 21 September.