Dipenjara 3 tahun kerana seludup manusia

Dipenjara 3 tahun kerana seludup manusia

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mei – Mahkamah Perantaraan di sini, semalam, menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun 10 bulan ke atas seorang lelaki Malaysia setelah mengaku bersalah bagi tujuh pertuduhan di bawah seksyen 7(1) Perintah Pemerdagangan dan Penyeludupan Manusia, 2004.

Iberi Sabal, 55, dari Merapok, Lawas terbukti bersalah apabila menyeludup wanita dan kanak-kanak berusia empat dan 32 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Atiyyah binti Haji Abas memberitahu Hakim Pengiran Hajah Hanani binti Pengiran Haji Metussain bahawa tertuduh bersama tujuh penumpang iaitu dua wanita berusia 32 dan 28 tahun, tiga kanak-kanak perempuan masing-masing berusia tujuh, enam dan empat tahun dan dua lagi kanak-kanak lelaki berusia sembilan dan lapan tahun, yang tidak mempunyai pasport sendiri ketika memasuki negara ini.

Tertuduh mengaku menerima sejumlah $2,500 untuk menyediakan pasport palsu untuk ketujuh-tujuh penumpangnya yang kesemuanya warga Filipina dan turut menerima RM$100 untuk bahan api daripada seorang yang bernama ‘Moktar’ jika dia bersetuju membawa penumpang-penumpang itu termasuk seorang anak buahnya ke Kota Kinabalu.

Fakta kes menyebut, tertuduh pada 12 April 2015 kira-kira 4 petang telah membawa penumpangnya memasuki negara ini melalui Pos Kawalan Sungai Tujoh dari Miri untuk pergi ke Kota Kinabalu.

Pada hari yang sama kira-kira 6:30 petang, tertuduh ditahan oleh pegawai imigresen yang bertugas di Pos Kawalan Imigresen Kuala Lurah apabila menyedari pasport yang dikemukakan oleh tertuduh tidak mencukupi bagi lapan penumpang yang berada di dalam kereta.

Tertuduh ketika itu hanya mengemukakan tujuh pasport yang mana pegawai bertugas terus mengarahkan tertuduh untuk meletakkan keretanya di tepi bagi membolehkannya menjalankan pemeriksaan ke atas kereta itu.

ARTIKEL YANG SAMA