Dipenjara gara-gara curi beg

Dipenjara gara-gara curi beg

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mei – Seorang lelaki tempatan dijatuhi penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret, semalam, atas pertuduhan mencuri sebuah beg tangan.

Surhidi bin Wahab, 34, didapati bersalah oleh Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid kerana mencuri sebuah beg mengandungi dua dompet; kad pengenalan diri; lesen memandu; kad ATM; wang tunai masing-masing $1,000, S$320, AS$100 dan RM117; dua cincin emas; kunci kereta; kunci rumah; jam dan gelang.

Dia melakukan kesalahan itu pada 12 Mac 2016 kira-kira jam 10 pagi di bilik tamu sebuah rumah di Kampung Penanjong apabila pemilik beg pergi ke dapur untuk mendapatkan minuman untuk tertuduh.

Tertuduh mengaku telah menggunakan wang itu untuk membeli alat ganti keretanya, membeli kad prabayar dan turut memberikan duit itu kepada ibu-bapanya.

pg06_160530_mahkamah logo2

Majistret Dewi Norlelawati memerintahkan hukuman ke atas tertuduh berkuat kuasa 24 Mei, iaitu hari pertama dia ditahan reman.