Dipenjara kerana Penerbitan perlakuan pengganas

Dipenjara kerana Penerbitan perlakuan pengganas

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) – Seorang penganggur dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku bersalah memiliki bahan penerbitan berkaitan perlakuan pengganas.

Hakim Kamardin Hashim menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Nazirul Abidin Thalha, 24, dan memerintahkannya menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 2 Julai lalu.

Nazirul Abidin merupakan individu pertama yang didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan iaitu memuat turun bahan serta maklumat berhubung perbuatan pengganas dari telefon bimbitnya sebelum mencetaknya.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak terhadap mana-mana bahan penerbitan tersebut, jika sabit kesalahan.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Kamardin berkata mahkamah mengambil kira faktor kepentingan awam dan jenis kesalahan yang boleh mengancam keselamatan negara selain faktor mitigasi yang telah dikemukakan.

Pada 29 Julai lalu, Nazirul Abidin didakwa di Mahkamah Majistret memiliki 15 bahan penerbitan yang mempunyai kaitan dengan perlakuan perbuatan pengganas di sebuah rumah di Wangsa Melawati, di sini, pada jam 7 pagi, 2 Julai lepas.

Mengikut fakta kes, serbuan dibuat di rumah tertuduh dan pihak polis merampas sebuah telefon bimbit kepunyaannya yang mengandungi 15 bahan penerbitan berbentuk salinan lembut.

Bahan tersebut dianalisa oleh Prof Rohan Gunaratna daripada Securities Studies and Head of the Internatioanl Centre For Political Violence and Terrorisme Research, dan mendapati kandungannya berkaitan ideologi dan operasi yang boleh digunakan oleh mana-mana individu atau kumpulan bagi merancang, menyediakan dan melancarkan perbuatan pengganas. Siasatan mendapati tertuduh memperoleh 15 bahan itu daripada laman web dan menyimpan dalam telefon bimbitnya.

Terdahulu peguam Mohd Fauzan Hushim dalam rayuan memohon anak guamnya hanya dikenakan hukuman denda atas alasan bahan yang dimuat turun adalah untuk kepentingan peribadi sahaja.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin membantah permohonan peguam itu atas alasan kebanyakan kes perbuatan pengganas sebelum ini, secara keseluruhannya bermula dengan pembacaan seperti itu.

ARTIKEL YANG SAMA