Dipenjara miliki 28 butir peluru

Dipenjara miliki 28 butir peluru

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160504_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mei – Mahkamah Majistret, hari ini, telah menjatuhkan hukuman penjara ke atas dua lelaki warga tempatan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dadah dan memiliki peluru.

Majistret Pengiran Shahyzul Khairuddien bin Pengiran Haji Abdul Rahman menjatuhkan lima tahun penjara terhadap Ahmad Sadik bin Tali @ Sabli, 29, atas tuduhan mengambil dadah dan memiliki peralatan mengambil dadah, dan juga memiliki sejumlah peluru.

Liew Kung Vui, 28, pula dijatuhi enam bulan dan dua minggu penjara selepas gagal membayar denda $3,700 atas kesalahan memiliki 0.2037 gram Methylamphetamine, mengambil dadah dan memiliki peralatan mengambil dadah.

Kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan itu pada 5 Mac 2015 di Ujung Jalan, Pos Kawalan Temburong.

Mereka ditahan oleh pegawai Biro Kawalan Narkotik di pos kawalan berkenaan di mana mereka menemui beberapa paket mengandungi dadah, peralatan mengambil dadah dan 28 butir peluru.

Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Atiyyah binti PD Haji Abas memberitahu mahkamah bahawa tertuduh tidak mempunyai lesen bagi peluru diklasifikasikan sebagai ‘peluru kecil’ yang boleh digunakan sebagai peluru untuk senjata api.

Timbalan Pendakwa Raya turut memaklumkan mahkamah, sampel air kencing yang diambil daripada tertuduh setelah dianalisis didapati mengandungi dadah dan peralatan yang digunakan untuk mengambil dadah juga didapati mengandungi kesan Methylamphetamine.

ARTIKEL YANG SAMA