Dipercayai berada di Brunei

Dipercayai berada di Brunei

KUALA TERENGGANU, 1 Jun (Bernama) – Polis Terengganu tidak menolak kemungkinan kanak-kanak lelaki yang dilarikan bapanya di Marang minggu lalu, kini berada di luar negara.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, ACP Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata hasil maklumat yang diterima, pihaknya percaya kanak-kanak berusia tiga tahun itu berada di Brunei bersama bapanya.

Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya masih menunggu pengesahan Wisma Putra.

“Hasil siasatan awal kita percaya bapa dan anaknya telah berlepas dari   Terengganu untuk ke Sabah sebelum meneruskan perjalanan ke Brunei,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. Kanak-kanak itu dilapor dilarikan daripada ibunya Rabu lalu.

Beliau sebelum ini menafikan dakwaan yang tersebar melalui media sosial berhubung seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun menjadi mangsa culik di Marang.

Menurut ACP Wan Abd Aziz, hasil siasatan awal, pihaknya mendapati kanak-kanak ini bukan mangsa penculikan untuk mendapatkan wang tebusan namun insiden itu tercetus ekoran perselisihan faham kedua ibu bapanya.

Katanya, kejadian itu berlaku 7.30 pagi Rabu lalu ketika ibu mangsa, 35, bersama anaknya dalam perjalanan dari Marang ke Bukit Payung untuk menghantar anaknya ke rumah sepupunya sebelum keretanya dihalang oleh individu yang tidak dikenali.

“Namun ketika tiba di Jalan Bukit Kor, kereta Perodua Myvi yang dinaiki dua beranak itu telah dihalang oleh sebuah Proton Exora dan berlaku sedikit pelanggaran dan pemandu Exora tersebut telah meminta ibu mangsa menurunkan cermin tingkap sebagai usaha untuk melihat kanak-kanak tersebut.

“Sejurus selepas itu datang sebuah lagi kereta jenis Toyota Alphard terus menghimpit bahagian belakang kereta wanita tersebut dan melihat suaminya membuka pintu kereta dan terus melarikan anaknya dengan kenderaan terbabit,” katanya.

Menurut ACP Wan Abdul Aziz, pihaknya juga telah memaklumkan kepada semua pihak termasuk Interpol bagi menjejaki suspek yang berusia 30-an bersama anaknya.

Beliau berkata, pasangan berkenaan masih dalam proses penceraian dan ibu kanak-kanak yang bekerja sebagai guru agama itu telah mendapat hak penjagaan sementara daripada Mahkamah Syariah Kuala Terengganu.

Sebelum ini, pasangan berkenaan menetap di Brunei namun pada penghujung tahun lalu ibu mangsa membawa anaknya pulang ke kampung halamannya di Marang.

Katanya Mac lalu, suami wanita terbabit yang berasal dari Brunei itu membuat satu laporan polis di mana beliau risau dengan keselamatan anaknya yang tiada dokumen untuk menetap di Malaysia.

“Siasatan lanjut berhubung insiden ini sedang dijalankan dan kita tegaskan kanak-kanak tersebut bukan diculik seperti yang disebarkan di laman sosial sebaliknya dia dilarikan oleh bapanya sendiri,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 341 Kanun Keseksaan kerana menghalang laluan dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan kanak-kanak daripada hak penjagaan yang sah.

ARTIKEL YANG SAMA