Dipercayai bunuh diri

Dipercayai bunuh diri

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 9 Sept – Seorang lelaki berbangsa India ditemui mati, dipercayai membunuh diri dengan balutan tali di lehernya dalam kejadian petang kelmarin di tapak perumahan pekerja asing sebuah syarikat tempatan di kawasan Lumut-Sungai Liang, di sini.

Menurut kenyataan Balai Polis Sungai Liang, laporan telah dibuat pada pukul 7 malam kelmarin, yang mana mayat lelaki berusia 25 tahun itu ditemui terlantar di atas lantai oleh rakan sebilik bersama penyelianya.

Penyelia syarikat tersebut yang tidak ingin dikenali, semasa ditemui hari ini, berkata beliau tidak mengesyaki apa-apa pun yang tidak kena dengan mangsa sebelum ini yang kelihatan gembira dan stabil, cuma sejak hari Isnin dan Selasa lalu beliau melihat mangsa lewat datang kerja.

Apabila beliau menegurnya dengan baik untuk mengetahui apa yang menyebabkannya lambat bekerja, mangsa memberi alasan dia tidur lewat pada malam sebelumnya.

Menurut penyelia itu lagi, rakan sebilik mangsa bergegas melaporkan kepadanya setelah melihat mangsa (melalui tingkap) terlantar di atas lantai dengan balutan tali di lehernya, apabila mangsa tidak menjawab semasa disuruh membuka pintu bilik mereka.

Pihak polis menyatakan ketika ini mayat mangsa sudah dibawa ke hospital untuk bedah siasat dan setakat ini, tiada tanda-tanda unsur jenayah dilaporkan.

ARTIKEL YANG SAMA