Diplomat M’sia dihukum tahanan 9 bulan

Diplomat M’sia dihukum tahanan 9 bulan

WELLINGTON, 4 Feb – Bekas Pembantu Staf Pertahanan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand, Muhammad Rizalman Ismail (gambar), hari ini dijatuhi hukuman tahanan rumah sembilan bulan atas dakwaan serangan seksual ke atas seorang wanita New Zealand.

Muhammad Rizalman mengaku bersalah atas dakwaan berkenaan pada November lalu selepas menafikan tuduhan berasingan iaitu cubaan merogol dan memecah masuk rumah.

Rizalman dikatakan mengekori Tania Billingsley ke rumahnya pada Mei 2014, dan menunggu kira-kira 30 minit di luar dan kemudian memasuki kediaman berkenaan dan berjalan ke dalam bilik tidur wanita itu tanpa memakai seluar mahu pun pakaian dalam.

“Awak menceroboh Cik Billingsley … Dia adalah wanita muda, bersendirian dalam biliknya, yang berhak untuk berasa selamat dan dilindungi dalam bilik tidurnya. Tiada wanita patut rasa bersabar dengan keadaan menakutkan yang dialami Cik Billingsley apabila awak menceroboh kesucian bilik tidurnya,” kata Hakim David Collins kepada Rizalman ketika menjatuhkan hukuman.

Collins berkata, perbuatan Rizalman adalah ‘dirancang’, bagaimanapun Billingsley tidak disentuh secara seksual dan Rizalman berharap wanita itu bersetuju untuk mengadakan hubungan seks.

Muhammad Rizalman Ismail

“Awak tersilap tafsir senyuman untuk persetujuan seksual, awak sengaja mengekorinya dan menunggu di luar rumah untuk tempoh yang lama,” kata hakim.

Rizalman akan menjalani hukuman tahanan rumah selama sembilan bulan tetapi bukan di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia dan akan dihantar pulang sebaik selesai hukuman.

Sementara itu, peguam Rizalman, Donald Stevens pula merayu anak guamnya dijatuhi hukuman lebih ringan termasuk dengan mengambil kira penyakit mental dialaminya. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA