Disangka bergurau

Disangka bergurau

KUCHING, 13 Jan (UB) – Disangka bergurau menyebabkan seorang remaja lelaki yang tercungap-cungap di permukaan air dibiarkan rakannya sehingga dia hilang dan ditemui mati lemas di pantai Kampung Santubong di sini, kelmarin.

Mangsa, Raziman Razali, 16, terdahulu bersama empat rakannya bermain di benteng pantai berkenaan sebelum dia dikatakan pergi ke pantai sekitar jam 5:30 petang Isnin lepas.

Rakan mangsa, Fairul Ikman, 16, memberitahu mangsa pergi ke pantai berkenaan sebelum dia kelihatan seperti meminta bantuan, tetapi tidak diendahkan mereka kerana menyangka mangsa bergurau.

“Dia tenggelam timbul dan seperti meminta bantuan, tetapi kami memikirkan dia (mangsa) sedang bergurau tambahan dia juga pandai berenang sehingga tiba-tiba dia kelihatan seperti ditarik sesuatu dan terus hilang.

“Ketika itu baharu kami sedar sesuatu yang buruk telah menimpa dia dan kami terus meminta bantuan dari orang ramai,” kata rakannya.

Difahamkan, mangsa dan rakannya sering bermain di pantai berkenaan yang hanya terletak beberapa meter dari rumah mereka.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang disertai anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dilancarkan sebaik sahaja laporan dibuat oleh penduduk kampung pada hari kejadian.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Kuching Tiong Ling Hii semalam mengesahkan mayat Raziman berjaya ditemui dalam radius lima kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Mayat mangsa yang dalam keadaan tidak sempurna berjaya ditemui oleh anggota penyelamat dalam radius lima kilometer dari lokasi mangsa kali terakhir dilihat,” kata Tiong.

Menurutnya, mayat mangsa ditemui sekitar jam 5:44 petang semalam.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat dan mangsa mungkin diserang buaya berdasarkan keadaan mayat mangsa yang hilang kedua-dua belah tangannya.