Diseru tingkat promosi koperasi

Diseru tingkat promosi koperasi

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei – Sejak penubuhan Koperasi Pusat Pembangunan Belia Berhad (KPPBB) pada 2004 sehingga kini, lebih kurang 10 peratus atau hanya seramai 198 orang sahaja yang telah mendaftar sebagai ahli dan pemegang saham.

“Saya melihat jumlah tersebut masih sedikit jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan warga Pusat Pembangunan Belia (PPB) sejak ia ditubuhkan pada tahun 1996,” kata Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin semasa berucap selaku tetamu kehormat pada Mesyuarat Agung KPPBB ke-5, hari ini.

Justeru itu, ahli lembaga pengarah digesa untuk mempertingkatkan usaha mempromosikan koperasi berkenaan kepada mereka yang belum mengetahui peranan dan kewujudannya supaya lebih ramai lagi golongan belia menjadi ahlinya pada masa hadapan, seru Dato Paduka Dr. Haji Affendy, yang juga Penasihat KPPBB pada majlis di Dewan Binadiri, PPB, Jalan Utama Tanah Jambu.

“Penubuhan KPPBB dahulunya timbul daripada satu gagasan idea untuk memaju dan menjaga kepentingan sosioekonomi ahlinya yang terdiri daripada warga PPB sama ada para pegawai, kakitangan sehinggalah kepada pelatih dan lepasan pelatih Pusat Pembangunan Belia,” jelas beliau.

Oleh itu, Dato Paduka Dr. Haji Affendy menyeru para pelatih dan lepasan pelatih PPB supaya tidak melepaskan peluang yang ada untuk meraih kelebihan yang terdapat dalam berkoperasi.

Dato Paduka Dr. Haji Affendy melihat dengan lebih dekat produk yang diusahakan oleh golongan belia pada majlis berkenaan.
Dato Paduka Dr. Haji Affendy melihat dengan lebih dekat produk yang diusahakan oleh golongan belia pada majlis berkenaan.

Menyentuh mengenai peranan dan tanggungjawab ahli lembaga pengarah, Dato Paduka Dr. Haji Affendy berkata mereka yang dilantik perlu melaksanakan dan menjalankan tugas yang diamanahkan dengan baik dan jujur.

“Oleh itu, pelaksanaan urus tadbir sesebuah organisasi amat penting demi memastikan ia dapat dilaksanakan dengan telus dan berkesan,” kata beliau pada mesyuarat yang turut menyaksikan pelantikan ahli-ahli lembaga pengarah bagi Sesi 2016-2017.

Menurut beliau lagi, ciri utama dalam urus tadbir yang baik adalah untuk membangunkan satu mekanisme pemantauan yang berkesan bagi melindungi kepentingan pemegang saham dan pihak berkepentingan yang lain.

Di samping itu, beliau juga berkata para pemegang saham juga perlu memainkan peranan dalam memajukan koperasi dan bukan hanya menyerahkan tanggungjawab bulat-bulat kepada ahli lembaga pengarah yang dilantik atau hanya menunggu saat-saat pembahagian dividen.

“Setiap ahli juga perlu mempunyai sifat aktif dan pro-aktif dalam sama-sama menyumbang kepada pembangunan dan perjalanan koperasi ini,” tambah beliau lagi.

Dato Paduka Dr. Haji Affendy menyatakan rasa bangga dengan pelaksanaan perniagaan yang dijalankan oleh koperasi itu di mana tenaga kerjanya 100 peratus terdiri daripada anak-anak tempatan lepasan PPB.

Antara yang hadir pada Mesyuarat Agung KPPBB ke-5 di Dewan Binadiri, PPB, Jalan Utama Tanah Jambu, kelmarin.
Antara yang hadir pada Mesyuarat Agung KPPBB ke-5 di Dewan Binadiri, PPB, Jalan Utama Tanah Jambu, kelmarin.

“Sehingga kini, seramai 19 orang belia lepasan PPB telah diambil bekerja di KPPBB,” jelas beliau. “Melalui pendedahan ini, ia sedikit sebanyak akan memberikan pendedahan dan melatih para lepasan PPB untuk bergiat lebih aktif dalam bidang keusahawanan khususnya berkoperasi.

“Peluang-peluang sedemikian sangat bermakna sebagai salah satu usaha kita sama-sama membantu negara dalam mengurangkan kadar pengangguran di negara ini,” jelas beliau lagi.

Koperasi yang ditubuhkan pada 2004 itu, kini mempunyai seramai 198 orang ahli, terdiri daripada para pegawai, kakitangan, pelatih dan lepasan pegawai, kakitangan serta pelatih PPB.

Penubuhannya bermatlamat untuk mewujudkan daya saing yang sihat dan untuk menaikkan nama PPB bukan sahaja sebagai sebuah pusat gedung ilmu tetapi juga sebagai perintis dalam melahirkan lebih banyak golongan belia keluaran pusat itu yang menceburi serta menerokai bidang keusahawanan.

Koperasi itu menjalankan pelbagai jenis perniagaan yang merupakan kesinambungan daripada kursus-kursus yang dijalankan di PPB di mana jenis-jenis perniagaan yang dilaksanakan merangkumi perkhidmatan penyediaan katering, bakeri, pengangkutan dan perkhidmatan pembekalan pakaian.

Koperasi itu juga mempunyai beberapa perancangan untuk mengembang luaskan lagi perkhidmatan perniagaannya termasuk untuk menghadapkan kertas kerja permohonan tapak tanah bagi perniagaan yang bertujuan untuk memohon tapak bangunan atau tanah bagi mengendalikan perniagaan yang berbentuk perusahaan dan bentuk pembaikan kenderaan, penyaman udara dan paip domestik, mengendalikan perniagaan kantin di sekolah-sekolah serta untuk mempelbagaikan jenis perkhidmatan penyediaan jamuan bagi majlis-majlis keraian keramaian.

Pada majlis itu, Dato Paduka Dr. Haji Affendy turut menyampaikan cenderahati kepada Ahli Lembaga Pengarah Sesi 2010-2015 serta juga menyaksikan pameran produk-produk keluaran ahli-ahli pemegang saham yang pada masa ini sedang giat menjalankan perniagaan.

ARTIKEL YANG SAMA