Disyaki perkosa dua lagi anaknya

Disyaki perkosa dua lagi anaknya

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160222_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Feb – Seorang bapa dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tuduhan merogol anaknya yang berusia 13 tahun, pada 2002.

Tertuduh warga tempatan berusia 52 tahun itu didakwa memperkosa mangsa dalam tiga kejadian berasingan di kawasan Bukit Barun, Jalan Bekiau dan di sebuah rumah di Kampung Birau pada sebelah malam sekitar tahun 2002.

Dalam kejadian di Bukit Barun dan Jalan Bekiau, Tutong, tertuduh turut mencederakan mangsa.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan di hadapan Majistret Pengiran Shahyzul Khairuddien bin Pengiran Haji Abd Rahman mengikut Seksyen 376(2)(a) Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang memperuntukkan pemenjaraan untuk tempoh yang tidak kurang daripada lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun, dan sebat tidak kurang daripada 12 sebatan untuk tuduhan pertama dan kedua.

Untuk pertuduhan ketiga, dia didakwa di bawah Seksyen 376(1) Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa hukuman penjara untuk tempoh yang boleh dilanjutkan sehingga 30 tahun dan juga sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Rozaimah binti Haji Abd Rahman yang mengendalikan pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh turut disyaki merogol dua lagi anaknya, dan memohon untuk tertuduh ditahan reman selama dua minggu bagi polis menjalankan siasatan dan mendapatkan keterangan.

Majistret Pengiran Shahyzul memerintahkan tertuduh untuk ditahan reman di Balai Polis Pusat dan menetapkan 29 Februari untuk sebutan semula.

ARTIKEL YANG SAMA