Ditemui mati tergantung

Ditemui mati tergantung

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Nov – Seorang lelaki warga Bangladesh telah ditemui mati dalam keadaan tergantung di sebuah rumah kosong di Jalan Kebangsaan, Berakas, pagi tadi.

Mayat mangsa yang hanya dikenali sebagai Yakub, berumur sekitar 30-an, dan tinggal di Simpang 501 berdekatan rumah kosong berkenaan, telah ditemui oleh bapa mertua mangsa, Sebahai Jambulingam.

Warga Bangladesh yang ditemui di tempat kejadian memberitahu, mangsa telah menghilangkan diri sejak awal pagi lagi.

Bapa mertuanya bersama rakan-rakan yang lain cuba mencari sehingga sekitar jam 11:00 pagi sebelum memutuskan untuk memeriksa rumah kosong berdekatan dengan simpang tempat mereka tinggal.

Beberapa orang warga Bangladesh berkumpul di luar sebuah rumah kosong di mana rakan senegara mereka ditemui mati tergantung.
Beberapa orang warga Bangladesh berkumpul di luar sebuah rumah kosong di mana rakan senegara mereka ditemui mati tergantung.

Apabila menemui beberapa botol air yang masih baru, mereka memasuki rumah berkenaan dan di tingkat atas, Sebahai menemui anak menantunya dalam keadaan tergantung dengan kain yang digulung dijadikan tali terikat di leher dan sudah tidak bernyawa.

Menurut Sebahai, sejak kebelakangan ini mangsa berkelakuan aneh dan selalu mengadu sakit kepala.

Sementara itu, penduduk kampung di sekitar kawasan berkenaan yang ditemui berkata, mangsa memang sudah lama tinggal di kawasan berkenaan.

Susulan penemuan itu, beberapa orang warga Bangladesh dilihat berkumpul di rumah kosong dan sebilangan daripada mereka sedang menangis, sedih dengan pemergian rakan senegara itu.

ARTIKEL YANG SAMA