Ditemui selepas 4 tahun, namun…

Ditemui selepas 4 tahun, namun…

ULASAN BUKU OLEH RAZALI SALAM

 

NOVEL The Stranger Game adalah sebuah novel dewasa yang mempunyai tema yang gelap, penuh persoalan dan jalan cerita yang tidak dapat diduga.

Novel ini mengisahkan tentang Nico Walker, seorang gadis berusia kira-kira 15 tahun, yang mendapati bahawa kakaknya telah kembali setelah hilang selama empat tahun. Apabila kakak Nico menghilangkan diri secara misteri empat tahun yang lalu, kedua ibu bapanya, ahli keluarga yang lain berserta sahabat handai mereka meratapi kejadian itu. Walau bagaimanapun, Nico tidak dapat mengakui apa sebenarnya yang dirasakannya pada saat itu. Dia berasa lega dengan kehilangan kakaknya setelah mengalami pelbagai bentuk penderaan daripada kakaknya itu setiap hari.

Namun setelah empat tahun, perkhabaran gembira buat ahli keluarganya dan buruk bagi dirinya telah datang. Setelah berpuluh-puluh petunjuk palsu mengenai keberadaan Sarah, dia akhirnya ditemui. Namun gadis ini telah banyak berubah daripada seorang kakak yang dikenali Nico.

Sarah kini bertubuh kurus dan pucat, sedangkan dia dahulunya bertubuh atletik dan berwajah segar. Keperibadiannya dahulu yang kompetitif dan angkuh juga sudah tiada lagi, di mana kini dia sangat pengecut dan kurang keyakinan diri. Yang paling menghairankan Nico adalah, Sarah kini sangat baik terhadap dirinya sedangkan dahulunya dia sentiasa bersikap kasar dan kejam terhadap adiknya itu.

Penyakit amnesia yang telah dihidapi oleh Sarah telah menyebabkan dia terlupa hampir segala-galanya tentang kehidupannya, daripada perkara yang kecil seperti buku cerita kesukaannya sehinggalah kepada perkara yang paling kritikal iaitu ke mana dia menghilangkan diri selama empat tahun ini dan apakah sebenarnya yang terjadi di taman di mana dia telah menghilangkan diri pada hari yang malang tersebut.Meskipun perkara itu merupakan tuah bagi diri Nico, namun apa yang telah terjadi empat tahun yang dahulu kini menghantui dirinya, dan jelas bahawa ada orang lain yang mengetahui kisah sebenar di sebalik apa yang terjadi kepada Sarah.

Apakah sebenarnya yang terjadi kepada Sarah empat tahun yang lalu? Siapakah dalang di sebalik kehilangan Sarah? Mungkinkah Nico juga terlibat di dalam kejadian tersebut kerana berdendam terhadap Sarah?

Untuk mengetahui lebih lanjut lagi kisah yang dipenuhi dengan seribu persoalan ini, jangan lupa untuk mendapatkan novel The Stranger Game karya Cylin Busby di pasaran segera.

ARTIKEL YANG SAMA