Ditipu, ekor haram

Ditipu, ekor haram

Oleh Arissa

 

LIMBANG, 10 Mei – Seorang guru hampir menjadi mangsa penipuan seorang lelaki menyamar anggota polis berpangkat sarjan yang memintanya memasukkan wang RM100,000 dalam akaun bank di sini pagi kelmarin.

Dalam kejadian yang berlaku jam 10.45 pagi, mangsa 38 dihubungi suspek yang mendakwa suaminya ditangkap polis kerana memiliki dadah.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai yang mengesahkan kejadian itu berkata suspek juga meminta mangsa untuk bercakap dengan pegawainya yang dikenali sebagai ‘tuan wong’ yang meminta wang sebanyak RM100,000 bagi tujuan untuk membebaskan suaminya.

Bagaimanapun ujarnya mangsa hanya mampu memberi RM6,000 untuk dimasukkan dalam akaun yang diberi suspek.

“Sebelum proses memasukkan wang di dalam bank dilakukan, kebetulan suami mangsa ada menghubunginya dari Brunei dan memberitahu kenapa isterinya menelefon banyak kali.

“Menurut suaminya dia berada dalam bilik mesyuarat syarikat tempat dia bekerja ketika isterinya menelefonnya dan memberitahu dia dalam keadaan selamat,”tambahnya lagi.

Beliau berkata siasatan akan diteruskan untuk mengesan pemilik berdaftar talian telefon dan pemilik nombor akaun terbabit.

Kes terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan (menyamar sebagai penjawat awam, sebagai polis)