Dituduh melakukan rasuah

Dituduh melakukan rasuah

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160615_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jun – Seorang pengarah eksekutif dan dua orang pegawai merinyu kerajaan akan dibicarakan pada tahun depan atas pertuduhan rasuah.

Majistret Pengiran Shahyzul Khairuddien bin Pengiran Haji Abdul Rahman menetapkan tarikh itu bagi ahli perniagaan, Chan Key Hong dan dua orang pegawai merinyu di Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Zamri bin Haji Jaludin dan Pengiran Haji Baharuddin bin Pengiran Haji Mohd Tahir.

Chan Key Hong menghadapi pertuduhan secara tidak jujur memberikan wang $90 kepada dua orang pegawai tersebut sebagai dorongan supaya mereka tidak meneruskan pemeriksaan secara teliti terhadap syarikatnya bagi tujuan memperbaharui sijil bengkel syarikat.

Zamri dan Pengiran Haji Baharuddin pula berdepan dakwaan menerima wang tunai berjumlah $90 itu daripada Chan Key Hong.

Mereka bertiga didakwa melakukan kesalahan itu di Maju Motors Sdn Bhd, pada 30 Ogos 2011 dan mengaku tidak bersalah.

Timbalan Pendakwa Raya, Norjauinah binti Haji Kula terdahulu memaklumkan Majistret Pengiran Shahyzul bahawa dia memerlukan tiga minggu untuk menjalankan perbicaraan tertuduh, dan hanya ada masa terluang dalam bulan April ke atas untuk mengendalikan perbicaraan.

Majistret Pengiran Shahyzul menetapkan 2 Mei hingga 3 Jun untuk tarikh perbicaraan ketiga-tiga tertuduh.

Zamri dan Pengiran Haji Baharuddin diwakili Peguam Bela Pengiran Khairul Nizam manakala Chan Key Hong diwakili Peguam Bela Haji Mohd Rozaiman bin DSLJ Haji Abdul Rahman dan Balendran.

ARTIKEL YANG SAMA